Friday, September 23, 2011

Wira dan Putri (9)

Wira:

Minggu terakhir sebelum Wira akan berangkat ke Paris, Wira mengadakan majlis doa selamat di rumah kakaknya di Kuala Lumpur. Dayang telah menjemput emak, abah dan adik lelaki Wira dari kampong untuk bermalam di rumah kakaknya itu. Majlis yang diadakan sekadar kecil-kecilan, hanya keluarga terdekat dan sahabat handai sahaja yang dijemput. Sempat juga Wira bertemu emak dan bapa saudara serta sepupu-sepupunya yang sudah lama tidak berjumpa akibat terlalu sibuk dengan urusan kerja masing-masing. Majlis doa selamat itu sungguh meriah dan sudah tidak kelihatan seperti majlis doa selamat tetapi seperti sambutan hari raya. Di tambah dengan gelagat-gelagat emak-emak saudara Wira yang sangat rajin bercerita. Terasa lapang hati Wira melihat suasana meriah seperti itu, sekurang-kurangnya dia dapat menyambut ‘aidilfitri’ awal memandangkan dia tidak dapat pulang beraya untuk 2 tahun akan datang.

Sedang Wira sibuk melayan saudara-mara serta rakan-rakannya, sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah berhenti di hadapan rumah kakaknya. Wira dapat mengagak empunya kereta tersebut. Adi Putra keluar dari tempat memandu sambil mengangkat tangan menyapa Wira. Seketika kemudian, seorang wanita tua keluar daripada tempat duduk penumpang, ibu Adi Putra tersenyum melihat Wira. Adi Putra membantu ayahnya yang menghidap penyakit Parkinson keluar dari kereta. Lelaki tua itu kelihatan begitu uzur, tidak seperti 10 tahun yang lalu. Wira memang sangat rapat dengan ibu bapa Adi Putra kerana mereka sering mempelawa Wira untuk keluar makan bersama semasa Wira dan Adi bersekolah di asrama.

Wira bersalaman mencium tangan ibu Adi Putra,

“Makcik sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Macam ni je la makcik, orang dah berumur. Cuma pakcik je la kurang sihat sikit. Baru lepas baik demam tu…”

Wira memandang ke arah Adi Putra dan Encik Pandekar. Lelaki tua itu menyuruh Adi Putra berjalan dahulu dan dia cuba menyusul perlahan-lahan dengan bantuan tongkat di tangan. Wira dan Adi Putra berpelukan. Titisan-titisan manik dari udara sedikit-sedikit membasahi bumi. Dalam sekelip mata hujan turun dengan lebat.

“Eh Adi, pi tolong ayah kau tu. Hujan lebat pula tiba-tiba.”

Wira membawa ibu Adi Putra masuk ke dalam rumah, manakala Adi Putra berlari mendapatkan ayahnya. Lelaki tua itu masih bertatih-tatih dengan bantuan tongkatnya. Penyakit Parkinsonnya semakin serius. Adi Putra cuba memapah ayahnya yang uzur itu untuk berjalan lekas, tetapi lelaki tua itu berdegil mahu berjalan sendiri.

Ayah~ Kan hujan lebat ni. Ayah bary baik daripada demam, nanti kalau demam lagi mak dengan Adi juga yang susah. Biar Adi dukung ayah kat belakang.”

Ayah Adi Putra menurut sahaja ‘arahan’ anaknya itu. Perlahan-lahan dia didukung oleh Adi Putra dalam keadaan hujan yang semakin lebat, badannya sudah menggigil-gigil kesejukkan. Kemudian Adi Putra berlari-lari anak sambil memikul ayahnya masuk ke dalam rumah. Semua mereka yang berada di situ terkedu melihat kasih sayang yang ditunjukan oleh Adi Putra yang sanggup memikul ayahnya yang uzur itu, sehingga ada dikalangan mereka yang tertitis air mata. Wira segera menyuruh Adi Putra membawa ayahnya berehat di bilik tetamu untuk menukar pakaian yang sudah basah-kuyup, bimbang jika orang tua itu jatuh sakit akibat kesejukan.

Putri:

Putri menekan-nekan butang telefon bimbitnya itu. Telefon itu hadiah pemberian ayahnya setelah Putri mula bekerja di syarikat tempat dia bekerja sekarang. Kedengaran suara wanita di hujung panggilan.

Assalamualaikum mak. Putri ni…”

“Emm, Putri. Lama tak call rumah. Sibuk bekerja ke?”

“Haah la mak. Putri minta maaf ye sebab sibuk bekerja sampai lupa call rumah.”

“Adik macam mana kat sana dengan kamu? Sihat?”

“Emm, kami sihat je. Mak dengan abah sihat kat rumah?”

“Sihat Alhamdulillah…”

“Ni mak, Putri nak beritahu. Hujung bulan ni Putri dengan Iman balik rumah tau. Iman ada cuti semester, Putri pun kebetulan time tu ada cuti juga. Kami plan nak ajak mak dan abah pergi melancong kat mana-mana.”

“Emm ye la, nanti mak beritahu abah kamu.”

Sudah agak lama Putri tidak pergi bercuti bersama-sama dengan keluarganya. Di kesempatan cuti yang ada dia dan adiknya sudah merancang bersama-sama dengan sepupu mereka yang lain untuk pergi bercuti ke Langkawi. Emaknya sudah lama menyatakan hasrat untuk pergi berehat di pulau yang popular dengan kisah Mahsuri itu.

Semasa mereka masih kecil, ayah Putri dan pakcik-pakciknya memang rajin merancang percutian keluarga bersama-sama. Disamping dapat berehat jauh daripada hiruk-pikuk kota, mereka dapat bersantai bersama keluarga adik-beradik ayahnya. Oleh sebab itu hubungan mereka sesama sepupu, bapa dan emak saudara sangat rapat. Kini tradisi itu diteruskan oleh Putri dan sepupu-sepupunya.

Pernah semasa Putri masih kecil dia bertanya kepada emaknya,

Emak, kenapa kita tak pergi holiday dekat Bali ke... Australia ke… UK ke..?”

“Nak pergi boleh, tapi nanti yang pergi family kita je la. Family Pak Ngah, Pak Uda, Pak Lang semua tak dapat ikut kita.”

“Kenapa diaorang tak dapat ikut mak, diorang tak cukup duit ke. Abah boleh bagi pinjamkan?”

“Bukan la Putri. Kalau nak bercuti kat tempat tu semua leceh sebab banyak urusan. Bercuti kat dalam Malaysia ramai-ramai dengan family Pak Ngah Pak Uda semua macam ni kan seronok. Tempat mana tak penting, yang penting kita dapat spend time sama-sama dengan family.”

Khairul

No comments: