About Me

Nama diberi Ahmad Khairul Bin Anwar. Berasal daripada Johor dan keluarga saya masih lagi menetap di Masai, Johor. Merupakan anak kedua daripada 4 orang adik-beradik. Mempunyai seorang kakak, seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Ayah bekerja di Pelabuhan Johor, dan emak adalah seorang guru kelas pengajian Al-Quran dewasa dan kanak-kanak.

Pendidikan awal: Berilmu Untuk Berjasa

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting (1) daripada darjah satu hingga ke darjah enam. Kemudian saya melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Dato’Abdul Razak (SDAR) salah sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) dan kini sekolah berprestasi tinggi (SBT) di Sungai Gadut, Seremban . Menuntut di SDAR selama 5 tahun daripada tahun 2002 hingga 2006. 

Selepas tingkatan 5, saya pernah bekerja sementara di McDonald Giant Plentong selama sebulan lebih. Pada Mei 2007, saya mendaftar di Kolej Matrikulasi Johor dalam aliran sains fizikal dan sempat menuntut disana selama lebih kurang sebulan lebih. Pada Julai 2007 saya mendapat tawaran International Baccalaureate  (IB) Diploma Program selama 2 tahun di Kolej MARA Seremban (KMS). Kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS) di Melaka-Manipal Medical College (MMMC), Kampus Manipal.

Hobbi dan Kegemaran: 

Suka untuk mencuba sesuatu yang baru kerana saya seorang yang cepat belajar dan cepat lupa juga. Mempunyai sedikit kemahiran dalam Adobe Photoshop dan juga Adobe After Effect. Pernah menghasilkan beberapa design untuk poster, sijil, banner dan kad. Kini sedang berjinak-jinak dengan kamera DSLR dan videography. Suka membaca pelbagai jenis bahan bacaan tentang agama, politik, motivasi diri, novel dan komik. 

Meminati pelbagai genre muzik. Pernah menyertai pancaragam semasa di SDAR tetapi tidak meneruskannya kerana tidak pandai membaca music sheet. Saya belajar bermain keyboard, drum dan gitar daripada seorang kawan dan juga melalui YouTube. Peminat setia Arsenal FC kerana pengurusnya Arsene Wenger. Boleh bermain beberapa sukan tetapi tidak sehebat mana.  Sukan kegemaran adalah bowling dan kriket. 

Aktiviti masa lapang, saya lebih gemar pergi menonton wayang seorang diri tetapi lebih seronok apabila pergi bersama-sama dengan keluarga dan rakan-rakan. Suka mencuba pelbagai jenis makanan dan restoran baru, serta gemar pergi bercuti bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.  

A Champion Is a Lone Ranger

Prinsip hidup yang saya pegang sejak dari sekolah menengah. Ia bukan bermaksud saya seorang yang anti-sosial, cuma saya mempunyai cara saya yang tersendiri dalam bersosial dengan ahli keluarga dan kawan-kawan. Prinsip tersebut adalah tentang tahap kepercayaan yang saya letakkan kepada individu. Apa yang lebih utama adalah ia memberi satu semangat tidak mudah menyerah kalah kepada saya. Tidak kira ahli keluarga, sahabat-handai atau pun pasangan, mereka tidak selalu sefahaman dengan kita. Sampai suatu ketika, kita akan merasakan tiada orang mempercayai potensi yang ada pada kita. Sesetengah orang cepat sahaja menyerah kalah dengan “nasihat” negatif yang diberikan. Pada waktu itu hanya mereka yang mempunyai keazaman yang kuat akan berjaya. Jika kita mampu membuktikan sesuatu disaat semua orang memandang rendah kepada kita, ucaplah Alhamdulillah kerana anda telah menjadi seorang juara. A champion is a lone ranger.