Sunday, October 23, 2011

Wira dan Putri (10)

Wira:

Wira duduk sendirian di sebuah café berhampiran jalan Charles Floquet. Suasana pada malam itu sangat indah, ketiadaan awan membuatkan langit pada malam itu dipenuhi dengan cahaya bintang yang menyinar. Indah sungguh ciptaan tuhan, disebalik kegelapan malam masih ada keindahan yang membuatkan jiwa insan terasa tenang. Begitu jugalah kehiduapan manusia, dalam setiap kesusahan dan musibah pasti ada sesuatu perkara baik yang tersirat. Sesungguhnya dialah sebaik-baik perancang.

Sementara menunggu pesanan makanannya, Wira meluangkan masa mempelajari Bahasa Perancis daripada buku yang diberikan oleh seorang kenalan barunya di bandar itu. Sudah hampir 3 bulan Wira berada di Paris, tempat yang sangat terkenal dengan menara Eiffel. Perlahan-lahan dia semakin mahir dengan bahasa asing yang dipertuturkan di lebih daripada 25 buah negara.

Seketika kemudian pelayan café’datang membawa pesanan.

‘‘Excusez-moi monsieur, voici votre poisson et frites,’’ pelayan tersebut menghidangkan fish and chips dan diletakkan di hadapan Wira

‘’y at-il autre chose que je peux obtenir pour vous?’’

‘’oui, tout va bien. Merci,’’ Wira berterima kasih kepada pelayan tersebut.

Sambil menikmati makan malamnya, fikiran Wira ligat memikirkan sesuatu. Memegang jawatan sebagai salah seorang lembaga pengarah dalam Anak Malaya Group pada usia 35 tahun adalah satu amanah yang sangat besar baginya. Walaupun tidak memegang apa-apa ijazah dalam business and administration tetapi disebabkan cita-cita yang disimpan sejak dari bangku sekolah lagi, Wira dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan syarikat Anak Malaya Group. Masing-masing dengan kepakaran yang berbeza, ada yang mempunyai ijazah dalam kejuruteraan, undang-undang, perniagaan dan juga perubatan.

Tiba-tiba pandangan Wira tertumpu pada sebuah gerai kecil yang menjual Extra Pita Grecque. Seorang lelaki dalam lingkungan 20an sibuk melayan pelanggan yang datang ke gerainya. Wira tersenyum sambil terkenangkan pertemuannya dengan Irfan…

Putri:

Putri berasa sangat gembira sepanjang percutiannya bersama keluarga di Pulau Mahsuri itu. Banyak tempat yang telah mereka lawati seperti Dataran Helang, Pantai Beras Terbakar dan berpeluang juga makan malam di salah sebuah tempat makan yang terkenal di pulau itu. Sempat juga Putri membawa keluarganya menaiki kereta kabel di Langkawi yang berusia tidak lebih daripada 10 tahun. Semua perbelanjaan sepanjang percutian itu ditanggung oleh Putri dan sepupunya yang lain. Putri tidak begitu kisah tentang perbelanjaan, kerana Wang bukanlah segalanya jika hendak dibandingkan dengan kegembiraan orang yang tersayang.

Pagi terakhir selepas menunaikan solat Subuh, Putri menyediakan sarapan ala Inggeris untuk keluarganya. Kemudian dia duduk di beranda luar chalet yang menghadap ke arah pantai sambil menghirup secawan kopi. Seketika kemudian Puan Siti duduk bersama untuk bersarapan dengan anak perempuan kesayangannya itu.

“Kenapa tak makan kat dalam?” tanya emaknya.

“Saja~ Kat luar ni udara lagi fresh. Lagipun kan rasa tenang bila makan breakfast sambil dengan bunyi laut, tengok matahari naik. Kita berdua je kan mak, macam romantik pula,” mereka berdua tertawa.

Puan Siti menyapu mentega pada roti dan diserahkan kepada Putri. Kemudian dia menuangkan jus oren pada sebuah gelas yang masih kosong untuk dirinya.

“Putri. Mak nak cakap sikit ni.”

“Apa dia mak?”

“Mak dengan abah bercadang nak buat umrah selepas habis musim haji tahun ni. Kat sana nanti banyak doa yang emak nak panjatkan pada Allah. Untuk adik kau tu yang masih belajar. Untuk kau supaya cepat jumpa jodoh yang sesuai” terang Puan Siti tentang hasrat di hatinya.

Putri terdiam sebentar apabila emaknya membangkitkan soal jodoh. Dia faham akan maksud emaknya itu dan dia sendiri sedar, usianya kini sudah mencecah 25 tahun. Ramai rakan-rakannya yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Perasaan egonya dengan memberi alasan tidak mahu mengikut trend kawan-kawan yang berkahwin muda kadang-kala memakan diri sendiri tatkala melihat rakan-rakan lain bahagia menempuhi alam rumah tangga.

“Putri dah ada sesiapa ke? Kalau dah ada, tak perlu la sembunyikan daripada emak.”

Lama Putri mendiamkan diri sambil menghirup air dicawan. Kemudian dia mula bersuara,

“Putri ada seorang kawan dan dia ni sangat baik. Tapi… tapi kami macam kawan biasa-biasa je mak,” Putri meluahkan perasaan.

“Putri suka budak tu?” emaknya cuba bertanya. “Kalau Putri suka dia, Putri cakap dengan dia yang Putri suka dia.”

Ish emak ni, malulah kalau perempuan buat macam tu,” Putri mencebik muka.

“Nak malu apanya. Nabi kahwin dengan Khadijah pun, Khadijah yang melamar dia melalui pak saudara Nabi. Tapi Putri nak buat macam tu kena betul-betul pasti yang dia tu dapat bimbing Putri jadi isteri dan anak yang solehah,” ibunya memberi nasihat.

Mereka terus menikmati sarapan pagi sambil melihat mentari pagi terbit dari ufuk timur. Pesanan ibunya pada pagi itu, membuatkan Putri mula berfikir.

Khairul

2 comments:

Anonymous said...

salam...
story bout wira n putri nie rekaan sndry ke..or p'nulis ad xprience sal story nie...?

A.KHAIRUL said...

terserah kepada orang yang membaca nak menilai yang tersurat dan tersirat. *smile*