Thursday, February 1, 2024

Mulakan Akaun Saving / Pelaburan Anak-Anak Sekarang

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang

Hari ini saya ingin berkongsi satu tips atau saranan yang pada saya perlu diambil perhatian oleh setiap ibu bapa di luar sana. Mungkin akan ada sesetengah individu yang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai topik ini, tetapi as adult mari kita raikan perbezaan pendapat secara matang. Cerita dia bermula apabila si isteri membuka cerita tentang beruntungnya orang yang ibu bapa berharta dan tak berkira untuk beri pada anak-anak. Dalam pada itu dia juga ada kawan yang ibu bapanya memang berada, tetapi si anak tidak mahu bergantung harap pada duit ibu bapa.

Sebab saya dah jadi BAPAK, jadi saya lebih fokus pada 2 sudut pandangan yang berbeza sebagai ibu bapa.

1) Adakah kita masih akan bantu anak-anak dari segi kewangan apabila mereka sudah besar dan bekerja? ATAU

2) Anak-anak perlu belajar kumpul harta sendiri daripada kosong?

Secara peribadi, pandangan saya lebih berat kearah nombor satu. Alasannya mudah, kerana saya dah hadapi sendiri betapa tidak mudahnya untuk bermula dari kosong, dan saya tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama. Kerana ajaran Islam itu sendiri menyatakan, sebaik-baik sedekah adalah pada ahli keluargamu dahulu. Sedekah ya bukan pinjam, sebab kalau bersedekah kita tidak mengharapkan sebarang pulangan wang, cuma ganjaran pahala yang besar dari Allah. Tetapi kalau anak-anak kita sendiri memilih untuk bermula dari kosong, bantulah anak-anak secara belakang tabir.

Saya tidak pernah menyalahkan mak ayah saya, kerana saya tahu kekangan mereka dalam membesarkan kami adik-beradik. Mereka sudah menjalankan tanggugjawab mereka sebaik-baiknya memastikan kami mendapat pendidikan yang terbaik. Kini menjadi tanggungjawab saya memastikan anak-anak melalui kehidupan dan dapat menjadi umat Islam yang lebih baik, supaya mereka dapat membantu lebih ramai orang dan banyak bersedekah.

Kami adik beradik memang tidak cilik wang, kami hanya belajar akan hal ini apabila sudah berkeluarga. Trust me, I learnt about it the hard way. Oleh sebab itu, selain daripada memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang betul, saya dan isteri nekad menabung untuk anak-anak bermula daripada kecil lagi. Tujuan kami, supaya apabila mereka sudah habis belajar kelak, duit simpanan yang ada itu akan menjadi batu loncatan untuk mereka memulakan kehidupan sebagai orang dewasa. Terpulang kepada anak-anak sama ada ingin membeli rumah, kereta, ataupun memulakan pelaburan dengan wang tersebut. Pada waktu itu, tugas kami adalah memberi nasihat kepada mereka. Jadi, bukalah akaun atas nama anak-anak kita di Tabung Haji, SSPNi, atau mana-mana platform pelaburan yang ada supaya dipermudahkan urusan anak-anak kita di kemudian hari.

Last but not the least, ada orang berpendapat anak-anak tiada hak untuk meminta duit pencen/KWSP mak ayah, kerana itu duit simpanan mereka untuk digunakan selepas bersara. Pada saya hal ini terpulang pada individu itu, seperti mana yang saya kata awal tadi sebaik-baik sedekah adalah pada ahli keluarga sendiri. Apalah sangat kalau simpanan ada berjuta-juta, rumah dan kereta dah habis bayar, akaun pelaburan ada, kalau anak ada 3 orang dan diberikan seorang 50K untuk memulakan pelaburan dapat juga kita lihat anak-anak berjaya dengan wang pelaburan yang kita beri. Tak perlu nak tunggu kita dah tiada baru nak berikan harta pada anak-anak. Kadang kala kita terlampau takut duit simpanan kita habis sehingga kita berkira-kira untuk membantu ahli keluarga sendiri. Jika anak-anak dibesarkan dengan didikan yang betul InsyaAllah mereka tidak akan melupakan kita dihari tua kita. Mudah-mudahan kita dapat menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak kita

A.Khairul


No comments: