Friday, March 25, 2022

Aquarium Air Masin "Salt Water Aquarium": Hobi Orang Kayangan?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani




Untuk coretan kali ini, saya ingin berkongsi tentang satu hobi yang baru saya ceburi kurang daripada setahun tetapi telah mendapatkan hasil yang sangat positif dan memuaskan hati. Saya percaya kebanyakan orang apabila terdengar tentang hobi saltwater aquarium, perkara pertama yang terlintas difikiran mereka adalah tentang kos. Saya faham, kerana saya sendiri mempunyai tanggapan sebegitu ketika mula-mula ingin bermula dengan hobi yang menarik ini.

Daripada pembacaan dan penyelidikan saya tentang hobi ini, memang kebanyakan video dan forum mencadangkan orang yang baru ingin berkecimpung didalam hobi ini supaya bermula dengan akuarium besar. Hal ini kerana parameter air memainkan peranan yang sangat penting dalam hobi ini. Secara teori, semakin besar saiz akuarium, semakin kecil perubahan parameter air, maka lebih tinggi kebarangkalian saltwater aquarium anda untuk berjaya. Namun masalah utama untuk bermula dengan akuarium bersaiz besar adalah kos yang sangat mahal.

Saya pernah bertanya tentang kit permulaan untuk saltwater aquarium di kedai berdekatan dan anggaran kos untuk akuarium bersaiz 2 kaki adalah RM800-900 untuk akuarium sahaja, dan ini tidak termasuk lampu “high class” yang dianggar RM1500, dosing pump RM1300, protein skimmer dan lain-lain. Jika mengambil kira kesemua peralatan dan hidupan untuk akuarium bersaiz 2 kaki, anda memerlukan lebih kurang RM3k- RM5k untuk memulakan hobi ini!!! (memang kayangan betul ni!!)

Disebabkan memang sudah lama berjanji dengan anak- anak untuk membela Nemo di rumah, saya tekad untuk bermula (baca ber-eksperimentasi) dengan akuarium bersaiz kecil walaupun peratusan kegagalan sangat tinggi untuk orang baru seperti saya. Tidak dinafikan pada 3 bulan pertama saya mengalami banyak kesukaran dan terpaksa bermula semula dari awal lebih dari 3 kali, antaranya disebabkan oleh jangkitan parasite (paling mencabar) dimana semua ikan saya tidak tahan lebih daripada 3 hari. Kedua adalah disebabkan oleh parameter air yang tidak stabil menyebabkan batu karang tidak kembang dan akhirnya mati, dan akhir sekali disebabkan oleh masalah peralatan yang rosak ketika kami sekeluarga pergi bercuti.

Saya hampir putus asa apabila sudah gagal banyak kali, namun atas sokongan isteri tersayang saya cuba untuk bermula semula, dan alhamdulillah kini pico saltwater aquarium saya berjaya bertahan 4 bulan tanpa sebarang kematian ikan mahu pun batu karang. Disini saya ingin kongsikan tips yang saya gunakan supaya lebih ramai orang boleh menikmati hobi ini dengan kos yang lebih rendah dan kejayaan yang tinggi.


1)      MULA DENGAN PERLAHAN

Biarkan akuarium berjalan tanpa sebarang ikan / batu karang sekurang-kurangnya 5-7 hari pertama untuk memastikan kitaran nitrogen lengkap. Penggunaan live rock, bio sand dengan bakteria boleh mempercepatkan proses ini.

Selepas 5- 7 hari semak parameter air terutama salinity, KH dan juga tahap nitrate. Walaupun kebanyakan pakar menyarankan untuk memeriksa kandungan calcium, magnesium, phosphate, tetapi untuk akuarium yang tidak mempunyai SPS memadai dengan ujian test kit untuk KH dan nitrate. 1 bulan pertama, saya periksa parameter air setiap 5-7 hari. Jika parameter air sudah stabil boleh mula menambah hidupan secara berkala (siput > ikan > coral > cleaner shrimp > hermit crab)

2)      BELI IKAN/CORAL YANG SENANG DIJAGA

Elakkan sindrom “finding nemo”!!! Walaupun “Nemo” clownfish dan “Dory” blue tang adalah ikan air masin tetapi tahap penjagaannya sangat berbeza. Blue tang pada dasarnya memerlukan akuarium bersaiz 30g atau lebih untuk ia selesa, manakala penjagaan clownfish lebih mudah kerana ia lebih gemar bermain di terumbu karang. Tips tambahan semasa membeli ikan, jangan membeli ikan yang tidak sihat kerana ia mungkin membawa parasite yang boleh mencemarkan air akuarium anda. Tanda-tanda ikan tak sihat, badan mempunyai tompok putih, berenang secara pelik dan tidak makan. Pastikan ikan/udang/siput yang dibeli dibiasakan “acclimatize” dengan air akuarium anda.

Untuk coral rata-rata menyatakan coral jenis LPS lebih mudah dijaga berbanding SPS, namun berdasarkan pengalaman saya kedua-dua jenis coral ini sangat mencabar untuk akuarium bersaiz 5g. Coral dari jenis zoas, green star polyps, acan coral, Yuma coral, toadstool coral adalah antara yang mudah dan tahan lasak untuk akuarium bersaiz pico.

3)      RAJIN TUKAR AIR

Pada peringkat awal saya membuat penukaran air garam akuarium sebanyak 30-40% setiap 7 hari. Tambahan air paip saya lakukan setiap 2-3 hari (sebanyak 200-300ml) untuk menggantikan air yang tersejat, dan mengelakkan salinity (kepekatan garam didalam air) meningkat terlalu tinggi.

4)      JANGAN BERI MAKAN BERLEBIHAN

Saya hanya memberikan ikan saya makan sekali sehari, dan jika bercuti lebih 3 hari perlu menggunakan mesin autofeeder. Pemberian makanan berlebihan boleh menjejaskan kualiti air dan menyebabkan banyak alga yang tumbuh. Untuk coral, saya hanya memberi makan seminggu sekali.

5)      ELAKKAN CAHAYA MATAHARI TERUS

Disebabkan cuaca di Malaysia, perlu elak meletakkan akuarium di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari terus kerana ini juga akan menyebabkan air cepat kotor, suhu air meningkat, dan alga tumbuh dengan banyak. Jika anda hanya membela ikan, lampu LED boleh dipasang bila perlu sahaja. Jika akuarium anda mempunyai coral, digalakkan untuk buka lampu LED selama 7-8 jam sehari kerana sesetengah coral bergantung pada proses fotosintesis untuk makanan

6)      GUNA EXTENSION PLUG YANG BERKUALITI

Ini juga daripada pengalaman saya ketika pergi bercuti selama semalam. Apabila balik daripada bercuti saya dapati pam air akuarium saya sudah berhenti, ikan terapung dan air berbau hanyir. Puncanya akibat daripada extension plug saya.

Akhir sekali saya ingin kongsikan anggaran kos untuk akuarium bersaiz setengah kaki atau 5 gallon selepas bereksperimentasi selama hampir 7 bulan. Untuk peralatan lengkap termasuk penyelenggaraan untuk setahun pertama budget yang diperlukan dalam RM 800- RM 900, jauh lebih rendah dariapa RM2K -5K. Manakala kos untuk ikan dan coral bergantung pada selera individu.

Produk pilihan saya Aquaforest


PERALATAN: RM800- RM900

Aquarium Saiz 5 gallon/ ½ kaki + Hanging Pump: RM180

Pasir Aquaforest Bio Sand 7.5kg : RM120 (pakai 2-3kg)

Garam Aquaforest Reef Salt 7.5kg: RM120 (tahan setahun)

Lampu LED : RM170 (beli di shoppee)

Water pump extra untuk wavemaker: RM17

Live rock: RM15 (ikut berat)

Glass cleaner: magnetic + scrapper (RM 10-90) *ikut brand

Refractometer/ Hydrometer: RM40- RM150 (jarang pakai apabila akuarium sudah stabil)

KH & NO3 test kit Aquaforest: RM120 (penting untuk 1 bulan pertama)

 

HIDUPAN:  IKAN + CORAL RM400- RM500/ IKAN SAHAJA RM100- RM200

Clownfish saiz S: Maroon RM90/ Normal RM20-RM30 (akuarium 5g digalakkan maksimum dua ekor)

Cleaner shrimp: RM70

Hermit crab: RM40

Corals: RM15 – RM80/ pcs (beli sikit-sikit) RM270

 

KOS PENYELENGGARAAN SETAHUN: RM380 (~ RM32/month)

Fish food: RM45 per year

Coral food Aquaforest: RM180 per year

Bio-S Aquaforest (bacteria): RM 35 per year

Aquaforest reefsalt: RM120 per year

Hobi ini sememangnya memerlukan kesabaran, namun di penghujungnya apabaila anda sudah mendapat hasil akuarium yang diidamakan, anda pasti akan berasa bangga dengan kejayaan tersebut. Apabila memberi makan kepada ikan/ coral niatlah untuk anda berkongsi rezeki dan mudahan rezeki anda sekeluarga turut diberkati. Selamat mencuba !!!

DR KHAIRUL

No comments: