Tuesday, August 15, 2017

Menjaga Kesihatan Adalah Ibadah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

"Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam 2 tahun pengalaman saya bekerja di hospital, saya telah bertemu dengan berbagai-bagai jenis ragam pesakit dan keluarga pesakit. Dalam pemerhatian saya kebanyakkan daripada rakyat Malaysia masih lagi kurang kesedaran tentang penjagaan kesihatan, terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi (hypertension), dan sakit jantung (heart disease).

Banyak kemasukkan pesakit ke wad boleh dielakkan jika mereka mengambil ubat seperti yang dinasihatkan dan mengamalkan pemakanan seperti yang telah disarankan. Dukacitanya, masyarakat kita masih ramai yang makan ubat ikut selera sendiri dan mengambil mudah dari aspek pemakanan.

Alasan yang sering diberi adalah, “kalau ambil ubat kencing manis lama-lama nanti buah pinggang rosak” “Saya tak ada rasa sakit buat apa makan ubat darah tinggi Doktor.” “Saya cuba ambil produk XYZ, depa kata boleh bagi baik sakit saya Doktor”. Tuan Puan, adakah anda Tuan Puan tahu punca Tuan Puan boleh dapat penyakit kencing manis & darah tinggi? Salah satu penyumbangnya adalah kerana KURANG PENJAGAAN DARI SEGI PEMAKANAN.

"Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit" (Hadis riwayat muslim)
"Makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlebih-lebihan" (Surah al-A'raf:31)

Tujuan doktor bagi ubat dan nasihat pemakanan dan kesihatan adalah untuk mengawal masalah penyakit kencing manis dan darah tinggi Tuan Puan agar tidak bertambah teruk dan MENIMBULKAN KOMPLIKASI YANG LAIN, seperti rosak buah pinggang, stroke, jantung tersumbat dan sebagainya. Kerisauan tentang kesan sampingan ubat, pada hakikatnya akan terjadi kalau Tuan Puan tidak mengikut nasihat doctor. Oleh sebab itu doctor di Klinik Kesihatan/ swasta akan memberi temu janji mengikut tarikh tertentu untuk memantau keadaan kesihatan Tuan Puan dalam pada masa yang sama memastikan Tuan Puan mengikut nasihat kesihatan yang telah diberikan seperti PENJAGAAN PEMAKANAN, SENAMAN dan sebagainya.

Jika bacaan gula dalam darah dan tekanan darah tinggi Tuan Puan dalam keadaan baik, tiada masalah untuk doctor MENGURANGKAN BILANGAN UBAT YANG DIAMBIL SECARA BERPERINGKAT, dengan syarat Tuan Puan perlu mengikut arahan pemakanan ubat seperti yang disarankan. Apa yang paling menyedihkan, terdapat sesetengah pesakit lebih percaya kepada produk komersial lain yang tiada bukti saintifik dan kajian menyeluruh tentang keberkesanannya berbanding ubat-ubatan hospital yang terbukti berkesan dari segi saintifik dan kajian klinikal.

Lebih mendukacitakan ada sesetengah pesakit sanggup membuang bekalan ubatan yang diberikan dek kerana lebih percaya pada produk sampingan. Ini jelas menunjukkan masyarakat kita masih lagi tidak tahu menghargai penjagaan kesihatan dan MENGAMBIL MUDAH TENTANG PENYAKIT “BIASA” YANG MEREKA HIDAPI KERANA ADANYA BANTUAN SUBSIDI KERAJAAN UNTUK UBAT-UBATAN. Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini, adakah masyarakat kita akan lebih peka tentang penjagaan kesihatan jika kita perlu mananggung sendiri segala kos perubatan?

Sama-samalah kita mengamalkan gaya hidup yang sihat bermula dari sekarang, dan hargailah nikmat tubuh badan yang sihat yang telah Allah berikan. Sesungguhnya menjaga kesihatan itu juga adalah satu ibadah.


DR A. KHAIRUL

1 comment:

Anonymous said...

I was recommended this web site by my cousin. I am not sure
whether this post is written by him as nobody else
know such detailed about my problem. You're incredible!
Thanks!