Tuesday, May 1, 2012

Mewarisi Mukjizat Terbesar

Al-Quran, The Book of Life. Mukjizat paling agung yang diberikan kepada insan bernama Muhammad Bin Abdullah untuk disampaikan kepada umat manusia. Kitab yang didalamnya tersimpan banyak pengajaran dan panduan untuk manusia. Ia adalah Kalam Allah, Tuhan yang mencipta segala-galanya, yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi.

Saya percaya sebagai seorang Muslim kita tahu dan sedar akan hakikat semua itu, tetapi adakah kita betul-betul ‘mengangkat’ dan ‘menjunjung’ Al-Quran setimpal dengan kedudukannya? Adakah kita membacanya setiap hari? Seminggu sekali? Sebulan sekali? Setahun sekali atau hanya pada bulan Ramadhan sahaja? Adakah kita ada cuba untuk memahami ayat-ayat Al-Quran yang kita baca?

Pada zaman persekolahan dahulu saya masih ingat, para Ustaz dan Ustazah ada melatih kita dengan hafazan surah-surah lazim. Kita rasa seronok apabila berjaya menghafaz surah An-Nas, Al-Ikhlas. Bertambah panjang surah yang dibaca, bertambah seronok kita. Sedikit sebanyak ia membantu kita untuk bacaan dalam Solat. Kemudian apabila sudah masuk sekolah menengah dan kolej persediaan, bacaan surah hafazan semakin panjang dan banyak, tetapi malangya sikap kita sudah berubah. Kita menghafaz ayat-ayat Al-Quran kerana terpaksa. Hakikatnya, setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan tiada lagi inisiatif yang diambil untuk menghafaz Al-Quran. Surah-surah yang dihafaz semasa zaman persekolahan entahkan ingat lagi atau tidak?

“Sibuk la beb, pagi petang ada kelas. Malam dah penat. Hari minggu ada plan lain”
“Aku tak jumpa masa yang sesuai la~”
“Aku nak hafaz ni lemah sikit, otak tak suci kot.”

Macam-macam alasan kita bagi. Otak tak suci? Ayat Al-Quran tulah yang akan ‘menyucikan’ otak dan hati kita. Tak ada masa? Lepas solat boleh baca satu ayat pun. Tak ada guru nak berlatih? MP3 surah-surah sekarang dah banyak, kita boleh download. Sambil-sambil buat kerja rumah, tengah memandu, kita boleh cuba dengar dan ikut MP3 surah-surah. Lagi-lagi sekarang ni handphone semua dah canggih-canggih, ada Al-Quran apps, bila-bila masa pun boleh baca. Jika kita mampu menghadap Twitter, Facebook begitu lama takkan nak baca satu ayat 5 minit tak boleh? Tepuk dada, tanya Iman.

Kalau nak menghafaz tu ada baiknya jika kita ada usaha untuk memahami ayat-ayat yang kita hafaz. Jika tidak mampu membaca tafsir pun, dapat baca terjemahan sudah memadai untuk permulaan. Janganlah asyik menunggu majlis ilmu diadakan baru kita ingin melihat terjemahan dan membuka kitab tafsir. Sendiri tidak mahu berusaha dan mengharap orang lain untuk suap, makanya kita ‘membodohkan’ diri sendiri.

Saya menulis post ini sebagai peringatan untuk diri saya dan pembaca yang seumur dengan saya khususnya supaya kita kembali membudayakan Al-Quran dalam diri kita. Al-Quran itu ada 6236 ayat, 30 juzu’, dan satu juzu’ itu lebih kurang dalam 22 muka surat. Kalau kita mampu untuk hafaz 1 juzu’ dalam masa setahun, InsyaAllah dalam masa 30 tahun kita akan berjaya meghafaz Al-Quran. Ajal dan maut itu ketentuan tuhan, asalkan niat kita dari awal ingin menghafaz Al-Quran, ganjarannya tetap ada InsyaAllah. Sama-sama kita berusaha mewarisi mukjizat besar junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Khairul

No comments: