Friday, April 27, 2012

Pilihanraya Umum 13


Pilihanraya Umum 13 dah semakin dekat, bila-bila masa sahaja boleh berlaku. Sekarang ni tengah sibuk-sibuk pula pasal Bersih 3.0. Penulis pasti, akan ada golongan yang buat nak-tak-nak ambil tahu pasal pilihan raya yang akan berlangsung nanti, golongan atas pagar kata orang "Si luncai mahu terjun dengan labu-labunya, biarkan-biarkan". Tak kita la atas pagar ke, luar pagar ke, lompat pagar ke undian setiap rakyat Malaysia yang layak adalah sangat bernilai.

Penulis tidak pernah menghadiri mana-mana ceramah atau kempen pilihan raya, hanya sekadar menonton video-video kempen di YouTube. Oleh sebab itu penulis tidak pasti sama ada setiap kali selepas sesi ceramah/kempen pilihan raya, akan ada sesi soal jawab dengan YB yang berkenaan atau tidak. Kalau ada, penulis ingin mencadangkan kita tanya calon berkenaan,

“pembaharuan apa yang YB akan buat kalau YB menang pilihan raya ini? Kami nak pembaharuan yang boleh  bertahan untuk tempoh 8 tahun”

Kenapa penulis mengatakan pembaharuan/pembangunan perlu bertahan 8 tahun? Pada pandangan penulis, pembaharuan/pembangunan itu perlu bertahan lebih daripada 4-5 tahun kerana kita tidak ingin YB yang berkenaan asyik menggunakan modal yang sama setiap kali tiba musim PRU.

kami akan perbaiki jalan… kami akan pastikan tiada masalah pembuangan sisa sampah… kami akan jaga kebajikan ibu tunggal dan anak istimewa…”

Semua itu dan beberapa masalah umum yang lain tidak sepatutnya dijadikan modal untuk berkempen kerana tidak kira YB mana yang menang, masalah umum itu tetap perlu diutamakan.  Kalau setiap 4 tahun asyik nak turap jalan sahaja, membazirlah wang pembangunan yang ada. Jika sekiranya perubahan yang dilakukan hanya bertahan selama 4 tahun, maka setiap kali tiba musim PRU mereka akan menggunakan modal yang sama untuk berkempen. Akhirnya, tidak ada pembangunan sebenar yang dapat kita lihat kerana balik-balik mereka hanya baiki jalan dan bersihkan kawasan itu sahaja. Kesian kita pada atuk nenek di kampung, dikaburi dengan ‘pembangunan palsu’.

Mungkin akan ada orang kata, “tak bersyukur la engkau ni!”. Analoginya begini, jika kita mampu beri anak isteri pakaian baru yang boleh dipakai untuk 2-3 tahun, mengapa perlu ditampal baju lama setiap minggu kerana koyak. Sekiranya perubahan yang dilakukan itu mampu bertahan lebih daripada 4 atau 5 tahun, sekurang-kurangnya selepas tamat tempoh 4 tahun, YB yang berkenaan boleh memberi fokus pada pembangunan/perubahan lain yang boleh dilakukan.

Contohnya jika di satu kawasan penduduk meminta supaya jejantas dibina untuk keselamatan semasa melintas jalan besar, YB yang berkenaan boleh fokus pada masalah itu dahulu disamping menjaga masalah umum yang lain. Selepas PRU yang akan datang, mungkin YB yang berkenaan boleh fokus tentang pembinaan Masjid baru bagi menggantikan masjid lama yang sudah uzur.

Jika ini dapat dilakukan, tak adalah kita asyik bertakuk ditempat yang sama sahaja, dan rakyat pun boleh nampak pembangunan di kawasan mereka dari satu tempoh PRU ke musim PRU yang akan datang. Barulah rakyat akan rasa yakin untuk melanjutkan tempoh ‘khidmat’ YB atau parti yang berkenaan. Kalau tak ada perubahan atau pentadbiran semakin teruk, PRU seterusnya kita pangkah orang lain pula. Secara individu, kualiti ini yang penulis akan lihat pada mana-mana parti politik dan juga wakil rakyat. Semoga Allah memberkati Malaysia dan rakyat Malaysia.

BACA.PERHATI.FIKIR
Khairul

No comments: