Saturday, May 16, 2020

PENDIDIK: Jasamu Dikenang Hingga Akhir Hayat.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meinggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakannya.” – SAHIH MUSLIM

Bersempena dengan sambutan Hari Guru dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman saya bersama dengan golongan pendidik semenjak dari zaman tadika hingga la ke sekarang. Pengalaman yang sedikit sebanyak membentuk peribadi saya pada hari ini.


Pengalaman dengan cikgu zaman tadika yang paling jelas sekali saya boleh ingat, waktu saya dipilih untuk menjadi salah seorang pengacara ketika konsert tahunan tadika. Beberapa hari sebelum majlis, cikgu saya ada memberi teks ucapan untuk dihafal, tetapi semasa raptai saya terlupa beberapa bahagian. Cikgu siap duduk depan mata tunjuk teks ucapan tu, tetapi sebab degil, saya julingkan mata dan seboleh-boleh nak cuba ingat balik teks ucapan tu. Penyelesaiannya cikgu pilih juga jadi pengacara bersama 3 orang lain, tetapi teks ucapan saya dipendekkan, hehehe. Terima kasih kepada cikgu-cikgu Tadika Matahari Masai (1994-1995)

Pengalaman zaman sekolah rendah. Secara jujur saya sangat-sangat berterima kasih kepada cikgu-cikgu sekolah rendah saya yang banyak memberi peluang dan mencungkil bakat saya. Kerana merekalah saya menemui bakat mewarna, bakat bercerita, bakat rekacipta, dan belajar untuk memimpin. Di sekolah rendah juga la, saya mengenal dan terlibat dengan bermacam-macam jenis sukan. Siapa sangka kanak-kanak introvert ini telah dipilih untuk mewakili zon dalam pertandingan chess, dipilih untuk mewakili daerah dalam pertandingan kriket. Terima kasih cikgu-cikgu di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1 (1996-2001)

Perjalanan saya di sekolah menengah lebih kepada kembara rohani atau “spiritual journey”. Kenapa spiritual journey? (Jeng 3x) Ini saya akan cerita dalam posting lain. Saya lebih suka melihat, mendengar dan memerhati pada waktu ini. Dalam tempoh 5 tahun membesar dalam suasana asrama inilah, saya banyak melihat jasa dan pengorbanan guru-guru. Merekalah pendidik, merekalah “ibu bapa”. Kami dianggap seperti anak-anak, jika sakit di waktu malam mereka yang bawa ke klinik, sekali-sekala memberi kami masakan air tangan mereka, mengejut kami untuk solat subuh, bersama-sama dengan kami bersolat berjemaah dan bergotong-royong. Antara kata-kata PK HEP saya ketika itu Cikgu Sahak yang paling saya ingat sampai sekarang, “kalau tak mampu amal semua dalam Quran, sekurangnya cubalah pegang satu ayat dalam Quran”. Sampai sekarang saya pegang ayat habluminallah habluminannas. Terima kasih cikgu-cikgu di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) (2002-2006)

Tahun 2007-2009 saya masih lagi di Seremban membuat program pre-U International Baccalaureatte (IB). Selain daripada core subject seperti sastera dunia dalam Bahasa, English, advance level Math, Chemistry dan Biology, ada 2 subjek baru iaitu Business dan Theory of Knowledge (TOK). Saya paling suka kelas TOK, sebab berada dalam kelas ni rasanya seperti sebuah pintu dibuka ke dimensi lain. Kami akan duduk bebincang dan menyatakan pendapat tentang apa-apa topic umum. Kelas inilah yang mengajar saya konsep “agree to disagree”. Terima kasih penysarah-pensyarah IB program di Kolej MARA Seremban (2007-2009).

Saya memasuki kolej perubatan daripada 2010 hingga 2015, dan mula bekerja pada Ogos 2015. Apa yang saya boleh katakan, pengalaman semasa menjadi pegawai perubatan siswazah (house officer) paling banyak membentuk karakter saya sebagai doktor. Ajaran, teguran dan herdikan yang membina daripada mereka banyak membantu dan masih saya ingat hingga sekarang.

Kita doktor, kenalah lebih tahu daripada pesakit, baru boleh terangkan dengan konfiden.”
“setakat copy previous review and plan, orang takde medical degree pun boleh buat.”
“jangan ingat dah jadi doktor, dah tak payah study. Basic science is important.”
“treat your patient like you are treating your family, so don’t do stupid things”

Terima kasih bos-bos lama saya di Hospital Sultanah Aminah (2015-2017).

Sesungguhnya besar ganjaran golongan pendidik ni, tidak kira ilmu formal atau pun tidak, pahalanya InsyaAllah berterusan. Bayangkan jika ibu bapa yang mengajar anaknya mengaji bermula dengan alif ba ta sehingga dia lancar membaca Al-Quran, setiap kali anaknya itu membaca Al-Quran ibu bapanya turut mendapat ganjaran. Saya doakan semoga golongan pendidik di dunia khususnya ibu bapa, adik perempuan saya dan suaminya (pensyarah) dan bapa mertua (bekas pensyarah) diberkati hidup mereka dan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah S.W.T di dunia dan diakhirat.

DR A.KHAIRUL

No comments: