Monday, May 10, 2021

COVID-19: LELAH

LELAH. Itulah ungkapan yang boleh saya gambarkan dan luahkan melihat kepada keadaan yang melanda negara “Tanah Tumpahnya Darah Ku” ini. Pada awal kita sama-sama berjuang membendung penularan wabak COVID-19, video tentang negara kita tular di laman YouTube. Saya percaya setiap rakayat Malaysia pasti berasa sangat bangga dan terharu pada ketika itu. Kita setanding malah lebih baik daripada kebanyakan negara maju pada peringkat awal wabak ini melanda negara kita.

Namun bak kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. KITA ALPA, KITA TAMAK, KITA LUPA DIRI. Selepas 4 bulan berjuang dan pada ketika rakyat baru boleh bernafas, kita laksanakan PRU SABAH. Maka berduyun-duyunlah jentera pilihan raya daripada setiap parti politik turun padang ditambah dengan penduduk Sabah yang pulang untuk mengundi. Natijahnya, kini kita kembali kepada keadaan awal malah lebih teruk lagi.

Jika peringkat awal PKP dilaksanakan, orang awam masih lagi boleh mematuhi arahan kerana terdapat bantuan moratorium, simpanan kecemasan atau harta yang boleh digadaikan, namun setelah PKP 2.0 dan 3.0 bagaimana dengan daya tahan hidup rakyat? Tiada lagi moratorium, tiada lagi barang untuk digadai tetapi masih memerlukan perbelanjaan untuk keperluan harian

Dari pandangan orang awam pada ketika ini, pada saya mereka sudah tidak endah dengan statistik COVID dan sebagainya daripada KKM, MKN atau mana-mana Menteri. Kerana apa? Kerana pegawai dan kakitangan kerajaan gaji mereka masih berjalan sepanjang tempoh COVID ini, namun tidak bagi kakitangan swasta dan yang bekerja sendiri. Ada diantara mereka yang  terpaksa diberhentikan kerja dan hilang mata pencarian, hal ini menjadikan mereka lebih terdesak

Dari pandangan anggota kesihatan dan pemerintah, mereka bimbang dengan kadar penyebaran wabak ini dan dalam pada masa yang sama keberlangsungan sektor ekonomi. Apa yang paling dikhuatari oleh pihak kesihatan adalah jika bilangan kes terus meningkat dan kapasiti kita sudah berada di tahap ‘nazak”, tidak mustahil kita akan jadi seperti negara India di mana petugas kesihatan mereka tidak dapat menampung kesemua pesakit COVID yang datang ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Pada ketika ini kita perlu kembali kepada matlamat asal kita, ELAKKAN PENULARAN WABAK. Ahli politik tanpa mengira pembangkang dan pemerintah perlu duduk berbincang secara fizikal atau maya untuk mencari solusi terbaik untuk rakyat dan negara. Jika perlu lockdown menyeluruh seperti PKP 1.0, pastikan ia dibuat dengan terperinci dengan mengambil kira keperluan hidup rakyat. Orang awam juga perlu mengawal emosi dan rasa amarah mereka demi kemaslahatan masyarakat dan keluarga mereka sendiri.

Jangan kita ambil mudah jangkitan COVID -19 ini hanya kerana kita sudah ‘lali’ dengan laporan statistic harian daripada DG KKM. Jika ada peluang berjumpa dengan pesakit COVID yang pernah dimasukkan ke ICU, tanyakanlah kepada mereka betapa ngeri dan takutnya disaat untuk menarik nafas yang mudah pun terasa sukar. Hendak bercakap pun susah. Berapa kerap kita mengatakan rasa syukur kepada Allah atas nikmat udara untuk bernafas sepanjang kita hidup, Allahuakhabar. Kami petugas kesihatan yang merawat pesakit covid sendiri berasa sedih dan pilu melihat keadaan pesakit yang semakin merosot dari hari ke hari. Jadi sekali lagi saya pesan, janganlah ambil mudah hanya kerana

Bukan ahli keluarga kita yang bertarung di wad-wad COVID.

Bukan ahli keluarga kita yang terlantar memenuhi katil-katil ICU COVID.

Bukan ahli keluarga kita yang meninggal dunia kerana COVID.

Semoga Allah berikan petunjuk dan ilham kepada kita dalam mengharungi dugaan daripada wabak COVID-19 ini.

Dr A.KHAIRUL

 

 

No comments: