Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)
Diawal tahun 2020, masyarakat dunia telah diuji. Pandemik wabak COVID-19 menyaksikan penularan
virus yang pada awalnya bermula di satu daerah di Wuhan, China berlaku dengan
sangat mendadak sehingga merebak ke seluruh pelusuk dunia dalam masa yang sangat
singkat. Tidak dinafikan wabak COVID-19 ini sememangnya memberi kesan kepada emosi
dan ekonomi yang mendalam terhadap majoriti masyarakat dunia. Dalam tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Movement Control Order (MCO)
kebanyakan perniagaan terpaksa diberhentikan, pergerakan menjadi terhad, tiada window
shopping, tiada lepak-lepak di mamak, tiada majlis kenduri-kendara yang boleh
dianjurkan, tiada sembang-sembang di pasar-pasar seperti kebiasaanya.
Kita dapat lihat berbagai respons
daripada setiap lapisan masyarakat, malah setiap kerajaan negara turut
mengeluarkan polisi yang berbeza-beza. Namun sebagai individu, apakah tindakan
kita terhadap situasi yang melanda ini? Di sini, kita ada pilihan sama ada
untuk menjadi individu yang positif atau pun yang negatif, dan perlu diingatkan
disini bahawa walaupun pilihan dibuat adalah atas dasar indivdu namun kesannya
tetap akan melibatkan orang disekeliling. Sikap pentingkan diri sendiri tidak patut ada
dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat kerana kita semua saling berkait antara
satu sama lain.
Antara luahan negatif masyarakat
#1. Ekonomi terhenti, tiada punca pendapatan
Kerajaan ada memberikan bantuan
kewangan seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium, dan terdapat banyak NGO
yang bergerak untuk menghulurkan bantuan. Jika ada 6 sekeluarga mampu
bertahan perbelanjaan bulanan dengan hanya RM500, mengapa kita tidak boleh?
Duit bantuan yang diterima itu seharusnya digunakan untuk membeli barang
keperluan asas, bukannya untuk berjoli online shopping barang yang
bukan-bukan. Hakikatnya boros itu adalah pilihan sendiri. Kini kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi untuk beroperasi, patuhilah SOP yang dikeluarkan kerana wang boleh dicari namun nyawa yang pergi tiada ganti.
#2. Bosan, berat badan bertambah
Bertambah berat badan akibat
daripada kurang bersenam dan kerap makan itu adalah silap kita sendiri. Itu hanyalah alasan
untuk bermalasan semata-mata. Tiada sebarang halangan untuk bersenam atau melakukan
aktiviti baru di rumah. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga
seperti mengemas rumah, belajar resipi baru, bermain bersama anak-anak, mengajar
anak-anak, bercucuk tanam, membaca, menari, membuat seni dan bermacam-macam
lagi aktiviti. Bak kata pepatah nak seribu daya, taknak seribu dalih.
#3. Keganasan rumah tangga bertambah
Suami isteri bergaduh, anak-anak
yang menjadi mangsa. Pada waktu PKP inilah kita sepatutnya mengambil peluang
untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga, mengenal dan memahami perangai mereka
dengan lebih dekat. Baiki hubungan yang rengang akibat kesibukan bekerja,
bukannya mencari salah setiap masa. Baiki komunikasi antara suami isteri dan
anak-anak.
#4. Menyalahkan orang lain
Perkara dah berlaku, apa pun puncanya masyarakat dunia perlu ambil iktibar daripada wabak COVID-19 ini. Menyalahkan pihak lain tidak akan memutar balik masa, tidak dapat menghidupkan kembali yang sudah pergi. Pada ketika ini, menyelesaikan masalah lebih utama daripada menunding jari.
Pilihlah untuk bersikap
positif, lihat gambaran lebih luas
#1. Kita kenal siapa kawan, siapa lawan
Pada
ketika wabak ini melanda Cina pada awalnya, dunia menyindir kerajaan Cina.
Walaupun WHO telah mengisytiharkan ia sebagai satu wabak pandemik, terdapat sesetengah
pemimpin barat dan rakyat mereka masih ego dan mengambil mudah pendapat pakar
kesihatan dunia. Natijahnya, lihatlah bilangan kes yang meningkat naik secara
mendadak. Tidak kurang juga di Malaysia dimana para petugas kesihatan
menyatakan terdapat sesetengah pesakit yang meminta layanan istimewa dan tidak menghormati kakitangan barisan hadapan yang bertugas.
Selain itu, dalam tempoh kesukaran ini jugalah kita dapat lihat, siapa kawan,
siapa lawan, siapa yang ikhlas menghulur bantuan, dan siapa yang tamak mengambil kesempatan.
#2. Kadar kematian akibat kemalangan berkurang
Mungkin orang awam tidak sedar
akan perubahan ini, tetapi bagi kami petugas kesihatan memang jelas kadar kematian
dan kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya adalah sangat rendah dalam
tempoh PKP ini dilaksanakan. Namun sebaik sahaja, PKP dilonggarkan telah ada berita
kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk.
#3. ALLAH
adalah sebaik-baik pentadbir
Banyak laporan dari jabatan alam
sekitar di seluruh dunia yang menyatakan bahawa, indeks pencemaran udara
menurun dalam tempoh kuarantin, begitu juga sungai-sungai di bandar-bandar
turut menjadi lebih bersih. Keadaan ini seolah-olah Bumi yang kita duduki ini diberi
peluang untuk “berehat dan merawat” daripada segala macam pencemaran yang disebabkan
oleh aktiviti manusia selama ini. Subhanallah.
#4. Peluang mengamalkan Sunnah Nabi S.A.W dan amal jariah
Akhir sekali, sebagai Muslim kita
sedia maklum besar ganjarannya jika mengamalkan sunnah Nabi S.A.W. Duduk
kuarantin di rumah juga adalah salah satu sunnah Nabi. Jaga kesihatan diri,
sunnah Nabi. Menolong isteri menguruskan urusan rumah tangga juga sunnah Nabi.
Bergurau senda dengan isteri, anak-anak dan cucu pun salah satu amalan Nabi. Mungkin
dalam tempoh PKP ni duit poketnya kurang, tetapi insyaALLAH pahala amalannya
bertambah, sesungguhnya pahala amalanlah sebaik-baik bekalan di akhirat kelak
Semoga kita semua dapat mengambil
pengajaran daripada wabak yang sedang melanda ini dan juga bersempena dengan bulan
Ramadhan, kita jadikan ia sebagai permulaan untuk memperbaiki diri dan masyarakat
dalam mengamalkan norma-norma hidup baru yang lebih baik. Yang baik itu
semuanya dari Allah, sebarang kekurangan dalam penulisan ini adalah atas kekhilafan
diri saya sendiri sebagai manusia biasa.
No comments:
Post a Comment