Saturday, March 7, 2020

Betul, kami doktor, bukan Tuhan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, LagI Maha Mengasihani

Sebagai seorang pengamal perubatan moden, saya percaya dan yakin ramai doktor-doktor di luar sana dan di Malaysia secara khususnya pernah berdepan dengan bermacam-macam ragam pesakit. Ada pesakit dan ahli keluarga yang sangat terbuka dan sedia menerima rawatan yang ditawarkan, dan ada pula yang sangat skeptikal dengan perubatan moden lantas keluar kenyataan seperti,

1- “Kalau saya ambil ubat atau buat pembedahan ini, CONFIRM boleh baik ke?”

2- “Doktor pun tak boleh beri  jaminan 100% boleh sembuh, takpelah saya tak nak operation, saya nak berubat luar”

Sebagai seorang doktor yang beragama Islam, sangat menyedihkan apabila mendengar kata-kata seperti itu datang daripada orang Islam sendiri. Apabila mendapat persoalan seperti itu daripada pesakit tidak kira bangsa dan agama, secara umumnya kami para doktor akan menerangkan kepada pesakit potensi untuk sembuh berdasarkan statistik dan pengalaman kami. Sebagai doktor yang beragama Islam, saya dan rakan-rakan hanya boleh menasihatkan pesakit tentang rawatan yang kami berikan adalah sebagai satu usaha bagi membantu pesakit untuk pulih. Yang menyembuhkan setiap penyakit itu hanyalah Allah. Selain daripada itu, motivasi diri pesakit juga memainkan peranan dalam proses rawatan tidak kira sama ada melalui pengambilan ubat, fisioterapi atau pun pembedahan.

Jadi jika terdapat pesakit yang mengatakan “Doktor bukan tuhan!!!” betul, kami bukan Tuhan yang boleh memberi jaminan 100% penyakit yang dialami boleh sembuh, tetapi Islam mengajar untuk setiap apa yang kita inginkan perlu ada USAHA, DOA, DAN TAWAKAL. Dan saya yakin, tidak ada doktor yang waras mahu pesakitnya bertambah sakit, dan rawatan yang kami tawarkan tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai salah satu usaha kami untuk membantu. Sungguhpun dengan teknologi perubatan moden, doktor berpengalaman yang merawat, dan motivasi pesakit yang sangat tinggi, kami tetap tidak dapat memberi jaminan 100% penyakit itu akan sembuh, kerana sekali lagi saya ingin ingatkan Allah adalah sebaik-baik penyembuh.

“Kalau macam tu doktor, tak payahlah ambil ubat atau buat operation. Saya berubat luar dan berdoa sahajalah.”

Secara peribadi, saya berpegang kepada firman Allah,

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui”
-Surah An-Nahl ayat 43-

 “Usaha” yang pesakit pilih untuk rawatan adalah hak pesakit itu sendiri, kami sebagai pengamal perubatan moden akan memberikan pilihan rawatan mengikut kesesuaian beserta dengan pro and cons bagi setiap rawatan yang ada. Hal ini kerana ada sesetengah pesakit, lebih cenderung kepada perubatan tradisional, seperti ayurvedic, bomoh tulang dan sebagainya. Hujah yang diberikan pesakit-pesakit, “ini pun kira usaha jugalah doktor. Doktor mungkin pakar perubatan moden, tapi depa ni “pakar” perubatan tradisional.”

Beza perubatan moden dan tradisional, perubatan moden adalah berdasarkan bukti dan kajian saintifik selama bertahun-tahun dengan berjuta-juta kes yang dirawat. Manakala bagi sesetengah perubatan tradisional, sesetengah daripadanya adalah tidak bertauliah dan tiada bukti dan kajian saintifik yang kukuh serta hanya berdasarkan testimoni dan hebahan mulut semata-mata. Jadi terpulang kepada empunya badan dan keluarga untuk memilih rawatan yang mana. Adakah anda ingin meletakkan risiko kesihatan dan nyawa pada rawatan perubatan moden yang melalui pelbagai proses saintifik, atau anda lebih yakin pada rawatan tradisonal berdasarkan cakap-cakap orang dan kepercayaan semata-mata? Sekali lagi pilihan di tangan setiap pesakit dan ahli keluarga, kerana kami para doktor juga adalah manusia biasa yang hanya menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah, kami bukan Tuhan.

Dr A.Khairul

No comments: