Friday, July 27, 2012

Wira dan Putri (14)


Wira :

Ramadhan menjelang tiba. Ini merupakan kali pertama Wira menyambut kehadiran Ramadhan di bandar metropolitan Paris, kali pertama juga bagi Wira menyambut Ramadhan pada musim panas. Di negara Eropah jika sekiranya Ramadhan itu pada musim panas, jarak waktunya antara Subuh dan Maghrib begitu jauh, maka tempoh berpuasa di siang harinya adalah lebih lama jika dibandingkan dengan di Malaysia. Tetapi jika Ramadhan itu pada musim salju, tempoh berpuasa di siang harinya adalah lebih singkat berbanding di Malaysia.

Wira berehat sebentar setelah selesai menulis sebuah artikel. Dia membuka program Skype di komputernya. Kebiasaannya apabila anak-anak berjauhan dengan keluarga, emak Wira pasti akan menghubungi mereka selang beberapa hari sebelum bulan Ramadhan bermula. Disebabkan emaknya sibuk dengan urusan kelas Al-Quran di masjid kawasan mereka, Wira tidak berpeluang menghubungi keluarganya di Malaysia. Seketika kemudian, Wira menerima panggilan daripada keluarganya melalui Skype.

Assalamualaikum Wira, sapa emaknya di Malaysia.

“Waalaikumsalam,” Wira dapat melihat adik-beradiknya yang lain berkumpul di belakang emaknya.

“Semua balik kampong awal puasa ke mak?” menjadi kebiasaan orang Melayu bertanya sesuatu yang sudah jelas sebagai pembuka perbualan.

“Haah. Kak Long dengan Abang Long ada, Dayang pun balik ni, Wira je tak ada~”
 
Abang Wira, kitorang nak pergi makan seafood kat tempat yang sedap tu nanti~” Dayang mencelah.

Kita tunggu la Abang Wira kau ni balik, nanti boleh pergi sana sama-sama. Bulan depankan Wira balik Malaysia cuti? Adik awak sorang ni dah rindu kat awak~”

“Ala~ emak pun rindu juga sebenarnya~” Dayang mencelah lagi, mereka semua tertawa.

Tersenyum Wira melihat telatah mereka walaupun hanya melalui atas talian. Setelah puas besembang-sembang dengan mereka, Wira kembali membuat kerjanya. Jam di dinding pejabat menunjukkan waktu 2:24pm, lebih kurang 8 jam lagi sebelum masuk waktu Maghrib. Wira kembali memandang screen komputer Samsung miliknya. Dia membuat semakan kali kedua pada artikel yang baru sahaja ditulisnya selepas solat Zuhur sebentar tadi. Setelah berpuas hati dengan apa yang ditulisnya, Wira mencapai telefon bimbit Blackberry di atas meja. Dia menghantar pesanan ringkas kepada seorang kenalannya di Malaysia.

< Salam Nora, saya ada tulis post baru. Boleh tolong proofread kan? Saya dah sent dekat e-mail awak >

Putri:

Hari itu merupakan hari minggu. Putri dan rakan sepejabatnya bercadang untuk berbuka puasa bersama-sama di rumah Aizat sambil menyambut hari lahir sahabatnya itu. Petang itu selepas solat Asar, Putri dan Seri singgah ke kedai Kentucky Fried Chicken dan Pizza Hut. Kemudian mereka menuju ke kedai Secret Recipe untuk mengambil kek yang telah ditempah semalam, kesukaan Aizat Chocolate Indulgence. Dalam perjalanan menuju ke rumah Aizat, Seri pula teringin membeli sedikit kuih-muih sebagai juadah ringan untuk berbuka.

“Banyaknya kau makan, tak padan dengan badan!” Putri mengusik. Seri hanya tersengih.

Sesampainya di rumah Aizat, kelihatan beberapa orang rakan pejabat mereka yang lain sudah ada di situ. Selepas bertegur sapa dengan rakan-rakan yang lain, Putri dan Seri melangkah masuk ke rumah teres satu tingkat itu. Mata Putri memerhati keadaan rumah itu.

Seperti kebanyakkan rumah lelaki bujang yang lain, tidak banyak perabot yang terdapat di dalam rumah itu. Di bahagian ruang tamunya ada sebuah perabot TV sederhana kecil, sebuah sofa, dan 2 buah beanbag. Di ruang makan, hanya terdapat sebuah meja makan bulat dan beberapa majalah yang tidak tersusun. Selepas meletakkan makanan yang di beli tadi di atas meja, Putri dan Seri menuju ke dapur untuk mengambil peralatan bagi menghidangkan juadah berbuka.

Aizat, kenapa dapur korang macam ini!! Eeee~” Seri menjerit dari dapur.
               
“Kenapa? Ada lipas ke?” Aizat bergegas lari ke dapur sambil membawa racun serangga.

“Bukanlah!! Tengok ni!! Sampah penuh tak buang pun, sampai dah bersemut!! Pinggan-mangkuk penuh di sinki!!!” Seri sudah mula berleter.

“Eish kau ni, macam mak nenek la. Mak dengan nenek aku pun tak bising macam ni.”

“Eh mestilah!! Kat dapur ni la tempat kita sediakan makanan. Kalau dapur tak jaga, makanan pun tak bersih. Lepas tu mula la mengadu dekat pejabat sakit perut la, diarrhea la,” perli Seri.

“Ala Zul tak pernah pun membebel. Biasanya dia yang kemas dapur buang sampah semua ni. Ini dah dua hari dia pergi out station, hari ni baru dia balik,” Aizat memberi alasan.

“Habis kau buat apa? Makan je tau. Hish pemalas! Pergi buang sampah yang dah penuh tu,” arah Seri sambil membasuh pinggan-mangkuk di sinki.

“Korang berdua ni~ Orang tua-tua kata kalau selalu gaduh macam ni, kira ada jodoh tau,” Putri cuba menyakat.

“Tak nak! Mak aku pesan, nak kenal lelaki tu tengok macam mana dia hidup masa zaman bujang dengan kawan-kawan dia. Itulah perangai sebenar dia. Kalau pemalas, dah kahwin nanti pun tak banyak beza,” kata Seri sambil memandang Aizat. Aizat tersipu-sipu malu.

Putri hanya tersenyum melihat telatah mereka berdua. Jam sudah menunujukkan waktu 7.05 petang. Juadah berbuka semunya sudah sedia terhidang di atas meja. Setelah kedengaran azan Maghrib berkumandang, Aizat pun membacakan doa berbuka puasa, doa makan dan membuat sedikit ucapan terima kasih kepada rakan-rakannya. Hari pertama mereka berbuka puasa sungguh meriah dengan telatah setiap orang.

Khairul

No comments: