Wednesday, March 18, 2026

HIKMAH DAN IBRAH DALAM KESUSAHAN

 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Ingin saya berkongsi kejadian yang berlaku baru-baru ini. Ia tentang hikmah dan ibrah yang telah disusun oleh Allah SWT. Untuk makluman para pembaca, saya merupakan salah seorang doktor perubatan yang kini bekerja di sektor swasta. Umum sedia maklum waktu bekerja di hospital ini kadang-kala susah nak dijangka. Antara perkara yang paling saya khuatir dan takutkan adalah jika ada apa-apa kecemasan keluarga yang berlaku ketika waktu saya sedang bertugas.

Kisah yang pertama berlaku beberapa minggu lepas. Sehari sebelum kejadian, rakan sekerja saya ada bertanya jika saya ingin membuat locum pada keesokkan harinya. Kebiasaannya jika jadual saya kosong dan tiada apa-apa perangcangan saya akan terus terima mana-mana tawaran locum, tetapi pada hari itu hati saya tergerak untuk bertanya dengan isteri, “sayang, esok petang ada orang tanya nak buat locum ke tak, kita ada apa-apa plan ke esok? cuba tanya budak-budak.” Memandangkan saya sudah beberapa hari tidak berbuka bersama keluarga, isteri cadangkan untuk berbuka dirumah pada keesokkan hari. Jadi tawaran locum itu saya tolak.

Keesokkan harinya, saya berkerja shift pagi seperti biasa, selesai habis shift saya pergi menjemput isteri di pejabat dan kemudian anak-anak kami balik dari sekolah petang. Dalam perjalanan memandu ke rumah di lebuhraya, tiba-tiba TPM (Tire Pressure Monitoring) kereta berbunyi. Saya terus berhentikan kereta di tepi jalan untuk memeriksa keadaan tayar. Tanggapan saya waktu itu mugkin cuma terkena paku, jarak dari rumah tinggal 5 minit sahaja lagi. Saya membuat keputusan untuk teruskan perjalanan pulang ke rumah dahulu supaya boleh menukar tayar di rumah.

Tidak sampai beberapa minit tekanan tayar turun dengan mendadak, disebabkan keadaan cuaca yang sedang hujan lebat dan kenderaan banyak saya teruskan juga memandu dengan tersangat perlahan. Perjalanan yang sepatutnya 5 minit menjadi 20 minit. Alhamdulillah kami selamat sampai dan berbuka di rumah. Keadaan tayar memang teruk dan ia bukan disebabkan oleh terkena paku tetapi memang tayar itu pecah, subhanAlllah. Pada waktu berbuka ketika berborak-borak dengan isteri, sempat dia berkata, “nasib baik abang tak jadi ambil locum hari ini, kalau tak macam mana la sayang nak handle dengan pregnant ni, budak-budak dalam kereta lagi.”  Saya hanya berseloroh, “mestilah abang akan datang juga,” tetapi di dalam hati saya ketika itu saya bersyukur pada ALLAH kerana tiada kejadian serius yang berlaku.

Sesungguhnya Allah Yang Maha Kuasa menggerakkan hati manusia dan dialah sebaik-baik perancang. DIAlah yang menggerakkan hati saya untuk bertanya isteri dahulu sebelum membuat keputusan tentang locum, DIAlah yang merancang saya ada bersama keluarga ketika kejadian tayar pecah itu berlaku. InsyaAllah saya akan sambung untuk kisah kedua berserta doa yang boleh kita amalkan supaya kita lebih tenang dalam menerima takdir dan ketentuan Allah.

 

A.Khairul

No comments: