Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Beberapa hari lepas sewaktu saya
sedang bermain dengan kiub rubik, tiba-tiba saya termenung panjang sambil mata
memerhatikan kiub rubik di tangan. Matlamat permainan kiub rubik ini sangat
mudah pada asalnya, kita hanya perlu menyelesaikan kiub yang warnanya bercampur
dan memastikan setiap 6 permukaan mempuyai warna yang seragam. Ia sebuah permainan
yang menguji skill kognitif seseorang. Apa yang menarik, permainan kiub rubik
ini turut dijalankan dalam pertandingan yang kompetitif, di mana para peserta
akan berlumba menyelesaikanya dalam masa yang paling singkat. Dalam fikiran saya
pada waktu itu, apa kelebihan yang kita akan dapat jika berjaya selesaikan rubik
dalam masa yang singkat, kerana cepat
atau lambat matlamat utama permainan tersebut tetap tercapai.
Saya suka untuk melihat sesuatu
perkara dalam konteks yang lebih besar terutama dalam kehidupan kita sebagai seorang
Muslim. Islam sememangnya menganjurkan umat manusia berlumba-lumba melakukakan
kebaikan seperti mana yang tersebut dalam Al- Quran,
Surah Al-Baqarah, Ayat 148: Allah SWT berfirman yang bermaksud, "…Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan..."
Terdapat juga hadith-hadith yang meriwayatkan tentang baginda Rasulullah SAW turut pernah berlumba kuda dalam pertandingan.
Daripada Anas
bin Malik RA, beliau ditanya adakah Rasulullah SAW pernah menyertai
pertandingan kuda? Anas menjawab: "Ya. Demi Allah, Baginda berlumba dengan
kudanya bernama Subbah. Kuda tersebut memenangi perlumbaan dan Baginda amat
gembira" (Hadis riwayat Abdullah bin Umar)
"Berlumba-lumbalah dalam memanah dan tungganglah kuda." (Hadis Riwayat Abu Hurairah RA)
Sesungguhnya berlumba-lumba yang membawa manfaat itu amat dianjurkan dalam Islam dalam erti kata, perlumbaan itu membuatkan kita bertambah sihat, kita semakin cekap dalam pekerjaan, dan memudahkan urusan orang yang dalam kesusahan dengan cepat. Ia juga meliputi bersegera dalam memohon maaf dan memaafkan sesama manusia, bersegera dalam bertaubat, dan bersegera dalam bersedekah.
Namun begitu, sebagai Muslim kita
juga harus berwaspada daripada berlumba-lumba dalam sesuatu perkara yang
sia-sia dan melalaikan. Sesungguhnya
fitnah akhir zaman itu adalah benar, tipudaya syaitan itu juga adalah benar
yang mana ia menampakkan kecantikkan pada perkara yang bathil. Contoh mudah
yang kita boleh ambil perhatian adalah penyebaran berita di media sosial dalam
aplikasi whatsapp, facebook, tiktok, Instagram dan sebagainya.
Manusia pada hari ini berlumba-lumba
menjadi orang pertama menyebarkan berita tanpa mengetahui hujung pangkal sesuatu
perkara, tanpa disedari bahawa kita telah membuka ruang untuk orang menabur
fitnah dan bersangka-sangka buruk. Merakam orang yang sedang bergaduh lebih
utama daripada meleraikan pergaduhan tersebut, itulah realiti yang berlaku pada
hari ini. Tanyalah pada diri sendiri,
apakah yang kita kejarkan dengan menyebar sesuatu perkara tanpa usul periksa.
Adakah kita ingin bermegah dengan orang disekeliling dengan menunjukkan kita
TERPALING TAHU, kita TERPALING UP-TO-DATE? Jika itu yang tersimpan dalam
lubuk hati, semoga ALLAH ampunkan dosa kita atas kekhilafan kita dan dijauhkan
kita dan ahli keluarga kita daripada sifat takbur dan riak.
Saya simpulkan dengan mengingatkan
diri saya dan juga semua pembaca sesungguhnya matlamat kita cuma adalah untuk
mendapat redha Allah. Kita harus bijak memilih urusan dunia yang mana boleh
dijadikan bekalan untuk kita diakhirat kelak. Marilah sama-sama kita ambil
peringatan daripada Surah At-Takasur. Ia adalah surah ke-102 dalam Al-Quran yang memberi amaran
tentang bahaya leka mengejar dunia sehingga melupakan akhirat. Surah ini
menekankan bahawa manusia akan menyesal apabila melihat neraka akibat terlalu
sibuk dengan harta dan pangkat, lalu ditanya tentang nikmat dunia. Wallahualam.
A.Khairul

No comments:
Post a Comment