Saturday, May 16, 2020

PENDIDIK: Jasamu Dikenang Hingga Akhir Hayat.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang anak Adam itu meinggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakannya.” – SAHIH MUSLIM

Bersempena dengan sambutan Hari Guru dalam tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalaman saya bersama dengan golongan pendidik semenjak dari zaman tadika hingga la ke sekarang. Pengalaman yang sedikit sebanyak membentuk peribadi saya pada hari ini.


Sunday, May 10, 2020

COVID-19: Musibah Atau Peluang Muhasabah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)

Diawal tahun 2020, masyarakat dunia telah diuji. Pandemik wabak COVID-19 menyaksikan penularan virus yang pada awalnya bermula di satu daerah di Wuhan, China berlaku dengan sangat mendadak sehingga merebak ke seluruh pelusuk dunia dalam masa yang sangat singkat. Tidak dinafikan wabak COVID-19 ini sememangnya memberi kesan kepada emosi dan ekonomi yang mendalam terhadap majoriti masyarakat dunia. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Movement Control Order (MCO) kebanyakan perniagaan terpaksa diberhentikan, pergerakan menjadi terhad, tiada window shopping, tiada lepak-lepak di mamak, tiada majlis kenduri-kendara yang boleh dianjurkan, tiada sembang-sembang di pasar-pasar seperti kebiasaanya.

Kita dapat lihat berbagai respons daripada setiap lapisan masyarakat, malah setiap kerajaan negara turut mengeluarkan polisi yang berbeza-beza. Namun sebagai individu, apakah tindakan kita terhadap situasi yang melanda ini? Di sini, kita ada pilihan sama ada untuk menjadi individu yang positif atau pun yang negatif, dan perlu diingatkan disini bahawa walaupun pilihan dibuat adalah atas dasar indivdu namun kesannya tetap akan melibatkan orang disekeliling. Sikap pentingkan diri sendiri tidak patut ada dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat kerana kita semua saling berkait antara satu sama lain.

Antara luahan negatif masyarakat
#1. Ekonomi terhenti, tiada punca pendapatan
Kerajaan ada memberikan bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium, dan terdapat banyak NGO yang bergerak untuk menghulurkan bantuan. Jika ada 6 sekeluarga mampu bertahan perbelanjaan bulanan dengan hanya RM500, mengapa kita tidak boleh? Duit bantuan yang diterima itu seharusnya digunakan untuk membeli barang keperluan asas, bukannya untuk berjoli online shopping barang yang bukan-bukan. Hakikatnya boros itu adalah pilihan sendiri. Kini kerajaan telah membenarkan sektor ekonomi untuk beroperasi, patuhilah SOP yang dikeluarkan kerana wang boleh dicari namun nyawa yang pergi tiada ganti.

#2. Bosan, berat badan bertambah
Bertambah berat badan akibat daripada kurang bersenam dan kerap makan itu adalah silap kita sendiri. Itu hanyalah alasan untuk bermalasan semata-mata. Tiada sebarang halangan untuk bersenam atau melakukan aktiviti baru di rumah. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti mengemas rumah, belajar resipi baru, bermain bersama anak-anak, mengajar anak-anak, bercucuk tanam, membaca, menari, membuat seni dan bermacam-macam lagi aktiviti. Bak kata pepatah nak seribu daya, taknak seribu dalih.

#3. Keganasan rumah tangga bertambah
Suami isteri bergaduh, anak-anak yang menjadi mangsa. Pada waktu PKP inilah kita sepatutnya mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga, mengenal dan memahami perangai mereka dengan lebih dekat. Baiki hubungan yang rengang akibat kesibukan bekerja, bukannya mencari salah setiap masa. Baiki komunikasi antara suami isteri dan anak-anak.

#4. Menyalahkan orang lain
Perkara dah berlaku, apa pun puncanya masyarakat dunia perlu ambil iktibar daripada wabak COVID-19 ini. Menyalahkan pihak lain tidak akan memutar balik masa, tidak dapat menghidupkan kembali yang sudah pergi. Pada ketika ini, menyelesaikan masalah lebih utama daripada menunding jari. 

Pilihlah untuk bersikap positif, lihat gambaran lebih luas
#1. Kita kenal siapa kawan, siapa lawan
Pada ketika wabak ini melanda Cina pada awalnya, dunia menyindir kerajaan Cina. Walaupun WHO telah mengisytiharkan ia sebagai satu wabak pandemik, terdapat sesetengah pemimpin barat dan rakyat mereka masih ego dan mengambil mudah pendapat pakar kesihatan dunia. Natijahnya, lihatlah bilangan kes yang meningkat naik secara mendadak. Tidak kurang juga di Malaysia dimana para petugas kesihatan menyatakan terdapat sesetengah pesakit yang meminta layanan istimewa dan tidak menghormati kakitangan barisan hadapan yang bertugas. Selain itu, dalam tempoh kesukaran ini jugalah kita dapat lihat, siapa kawan, siapa lawan, siapa yang ikhlas menghulur bantuan, dan siapa yang tamak mengambil kesempatan.

#2. Kadar kematian akibat kemalangan berkurang
Mungkin orang awam tidak sedar akan perubahan ini, tetapi bagi kami petugas kesihatan memang jelas kadar kematian dan kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya adalah sangat rendah dalam tempoh PKP ini dilaksanakan. Namun sebaik sahaja, PKP dilonggarkan telah ada berita kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

#3. ALLAH adalah sebaik-baik pentadbir
Banyak laporan dari jabatan alam sekitar di seluruh dunia yang menyatakan bahawa, indeks pencemaran udara menurun dalam tempoh kuarantin, begitu juga sungai-sungai di bandar-bandar turut menjadi lebih bersih. Keadaan ini seolah-olah Bumi yang kita duduki ini diberi peluang untuk “berehat dan merawat” daripada segala macam pencemaran yang disebabkan oleh aktiviti manusia selama ini. Subhanallah.

#4. Peluang mengamalkan Sunnah Nabi S.A.W dan amal jariah
Akhir sekali, sebagai Muslim kita sedia maklum besar ganjarannya jika mengamalkan sunnah Nabi S.A.W. Duduk kuarantin di rumah juga adalah salah satu sunnah Nabi. Jaga kesihatan diri, sunnah Nabi. Menolong isteri menguruskan urusan rumah tangga juga sunnah Nabi. Bergurau senda dengan isteri, anak-anak dan cucu pun salah satu amalan Nabi. Mungkin dalam tempoh PKP ni duit poketnya kurang, tetapi insyaALLAH pahala amalannya bertambah, sesungguhnya pahala amalanlah sebaik-baik bekalan di akhirat kelak

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran daripada wabak yang sedang melanda ini dan juga bersempena dengan bulan Ramadhan, kita jadikan ia sebagai permulaan untuk memperbaiki diri dan masyarakat dalam mengamalkan norma-norma hidup baru yang lebih baik. Yang baik itu semuanya dari Allah, sebarang kekurangan dalam penulisan ini adalah atas kekhilafan diri saya sendiri sebagai manusia biasa.

Dr A. Khairul