Picture credited to: HRJOE Photography |
Hari ini genap 1 minggu Pakatan
Harapan mengetuai kerajaan baru Malaysia selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei
yang lalu. Ini merupakan sejarah baru buat Malaysia setelah hampir 60 tahun
negara ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional, akhirnya pada PRU14 Rakyat
Malaysia memilih untuk menggunakan hak mereka dan memilih kerajaan yang baharu.
Terlalu banyak perkara yang boleh dibincangkan jika kita ingin berbicara
tentang politik, tetapi seperti majoriti Rakyat Malaysia yang lain saya memilih
pendekatan politik matang dan bukannya berdasarkan emosi atau kepentingan
peribadi semata-mata.
Kekalahan Barisan Nasional dan parti
komponennya dalam PRU14 baru-baru ini jelas membuktikan bahawa Rakyat Malaysia dan orang muda khususnya
sudah lebih matang dan agresif dalam memilih calon untuk mewakili suara mereka.
Jika dilihat kembali pada keputusan PRU13 yang lalu, sokongan kepada BN mula
menurun apabila bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi (132) berkurangan jika
dibandingkan dengan PRU12 (139 kerusi parlimen). Hal ini boleh dikaitkan dengan
kebangkitan golongan muda khususnya mereka yang lahir pada tahun 90an yang mula
mengundi kali pertama pada PRU13. Kemungkinan pada waktu itu, tidak semua
daripada mereka yang lahir pada tahun 90an mendaftar sebagai pengundi kerana
masih balajar dan sebagainya, namun pada PRU14 jumlah golongan muda yang keluar mengundi mungkin berlipat kali ganda. Oleh yang demikian parti yang dapat mengeluarkan manifesto yang memenuhi aspirasi golongan muda, maka merekalah yang akan mendapat sokongan penuh daripada golongan muda.
WAKE-UP CALL UNTUK BARISAN
NASIONAL
Dalam PRU14 baru-baru ini kita
dapat saksikan satu gelombang perubahan yang sangat besar terutama di negeri Selatan
tanah air, di mana beberapa nama besar dalam Barisan Nasional telah kehilangan
kerusi Parlimen mereka kepada Pakatan Harapan. Adakah kekalahan mereka
disebabkan oleh kurangnya kredibiliti mereka sebagai ahli parlimen? Pada
pendapat peribadi saya punca kekalahan sesetengah calon-calon daripada BN (yang
cemerlang) adalah disebabkan rakyat memilih untuk menolak BN secara
habis-habisan. Bak kata pepatah Melayu kerana nila setitik rosak susu sebelangga,
namun dalam situasi PRU14 kali ini kemungkinan nilanya bukan hanya setitik tetapi bergayung-gayung.
Saya berasal daripada Johor dan
tidak saya nafikan Dato’ Seri Khalid Nordin boleh dikatakan sebagai Menteri
Besar Johor yang paling cekap dalam
menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar. Terdapat pelbagai pembangunan yang
telah dilakukan oleh beliau di Negeri Johor sama ada dari segi infrastuktur
mahu pun pembangunan sosial. Namun rakyat melihat kepada gambaran yang lebih
besar iaitu masa depan Malaysia, lantas saya pasti ramai yang terpaksa
mengambil keputusan yang agak berat dalam PRU14 yang lepas. Analoginya seperti (Infinity Wars spoiler alert), Dr
Strange (Rakyat Johor) terpaksa mengutamakan keselamatan Inifinity Stone (Malaysia)
berbanding Iron Man (Khalid Nordin).
PERINGATAN UNTUK PAKATAN HARAPAN
DAN PARTI POLITIK LAIN
Rakyat Malaysia mutakhir ini lebih bijak dan mengetahui hak-hak mereka sebagai
rakyat di dalam sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen
dan Raja berpelembagaan. Jika sebelum ini pemahaman kita lebih kepada takut
kepada parti yang memerintah, hal ini perlu diubah kerana parti politik yang perlu
takut kepada suara rakyat dan PRU14 menjadi buktinya. Pakatan Harapan tidak
boleh terlalu selesa dengan kedudukan mereka sekarang. Segala janji dan
manifesto yang disampaikan perlulah dilaksanakan kerana pada mata rakyat, kami
ingin melihat perubahan kearah Malaysia yang lebih baik, gemilang dan disegani seantero
dunia. Jika PH gagal dalam menjalankan amanah yang diharapkan rakyat, tidak
mustahil rakyat akan berubah angin dalam pilihan raya yang akan datang. Jangan terlalu mendongak ke langit, kerana kelak
kita semua akan kembali ke tanah. Firman Allah:
Takutlah kalian terhadap hari yang pada waktu itu kamu semua
dikembalikan kepada Allah. kemudian masing-masing diri diberi Balasan yang
sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikitpun tidak
didzalimi. (QS. Al-Baqarah: 281)
UNTUK RAKYAT MALAYSIA
Jadilah rakyat Malaysia yang matang
pemikiran dan tindak-tanduknya. Perbezaan
ideology politik tidak seharusnya menjadi penyebab perpecahan dalam institusi
masyarakat mahupun keluarga, tetapi ia patut diraikan sebagai satu mekanisme check and balance. Sikap terlalu
taksub menyokong sesuatu parti politik hanya membuatkan seseorang itu sempit
pemikirannya seolah-olah mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan mereka,
semuanya tidak benar dan salah belaka. Hal ini sangat berbahaya kerana boleh
menjurus kepada sikap takbur, fitnah-memfitnah, keji-mengeji dan bermacam lagi.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama membina negara ke arah yang lebih
gemilang dan terbilang bagi memastikan masa depan generasi yang akan datang
lebih terjamin.
DR A.KHAIRUL
No comments:
Post a Comment