Dengan nama Allah Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Untuk post kali ini, saya dengan
rasa rendah diri ingin berkongsi pandangan peribadi tentang satu ‘trend’ baru
dalam kalangan masyarakat dunia, terutama di Malaysia yang semakin menjadi-jadi.
Saya pasti netizen sudah biasa dengan ayat-ayat seperti “mohon share”, “mohon
sebarkan” dan sebagainya di dalam mana-mana laman social seperti facebook,
twitter, dan whatsapp khususnya.
Pada peringkat awal saya melihat ‘trend’ ini sebagai satu perkara yang
baik, kerana kita boleh berkongsi maklumat dan ilmu dengan rakan-rakan dan ahli
keluarga dengan cepat. Sebagai contoh, mungkin kita berkesempatan mengikuti
mana-mana majlis ilmu, dan kemudian kita gunakan media social yang ada untuk
berkongsi nota-nota yang telah kita ambil dalam majlis ilmu tersebut. Perkara
seperti ini adalah sangat digalakkan. Contoh baik yang lain mungkin jika
berlaku kemalangan atau kes-kes jenayah, kita boleh maklumkan kepada ahli
keluarga kita supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga. Kegunaan
seperti ini adalah untuk kebaikkan dan keselamatan bersama, jadi tidak salah
jika ia dikongsikan bersama.
Namun kini ‘trend’ “mohon share” “mohon
sebarkan” ini semakin berleluasa sehingga mendatangkan mudarat kepada diri
sendiri dan orang lain. Ditambah lagi dengan sikap masyarakat kita yang cepat
melatah dan cepat menghukum, ini telah memburukkan lagi suasana dan mentaliti dalam
kalangan masyarakat kita. Saya bukan mencadangkan kita supaya berdiam diri dan
buat tak endah dengan berita yang kita terima, tetapi saya ingin mengajak kita supaya menggunakan akal yang dikurniakan Allah
kepada kita untuk berfikir dahulu sebelum memberi komen dan menyebarkan berita
itu kepada orang lain. Bukankah di dalam Al-Quran Allah ada mengajar kita
supaya berkata yang baik-baik sahaja, dan jika sekiranya kita tidak ada perkara
yang baik-baik untuk diperkatakan, maka berdiam itu adalah lebih baik. Allah
berfirman di dalam surah An-Nisa: 83
“Dan apabila sampai kepada
mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka langsung
menyiarkannya. Padahal apabila mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri
di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan
dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Sekiranya bukan
kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu akan mengikut syaitan,
kecuali sebahagian kecil sahaja (di antara kamu)”
Mungkin akan ada yang kata, “nak tunggu berita daripada pihak berkuasa,
lambat la jawabnya.” Ini persoalan
yang selalu bermain di minda saya untuk mereka yang berlumba-lumba untuk
menjadi orang pertama yang mendapat dan menyebarkan berita. Apa yang kita nak kejarkan? Adakah kita
ketinggalan zaman jika lambat mengetahui sesuatu berita? Adakah kita ingin kelihatan
hebat kerana mengetahui semua berita terkini? Berapa ramai antara kita yang
lalai dengan tanggungjawab di rumah, di pejabat, tanggungjawab kepada ALLAH
kerana leka menekan butang share, like, copy-paste
di telefon pintar masing-masing. Kita seronok berkongsi dan membaca kata-kata
motivasi di dalam facebook, twitter, whatsapp. Nanti dijawabnya “sebarkan benda
baik kan dapat pahala,” itu kalau berita yang disampaikan benar, kalau yang
disebarkan itu fitnah?
Kenapa tidak kita gunakan masa
yang ada untuk membaca, berkongsi dan menghayati Al-Quran yang telah kita
kenali sejak bertahun-tahun? Setiap huruf yang kita baca di dalam Al-Quran itu
jika dibaca degan hati yang jujur dan ikhlas ganjarannya adalah pahala. Kenapa kita sibuk mengejar sesuatu berita yang
tidak pasti, sedangkan apa yang ditulis di dalam Al-Quran itu adalah sesuatu
yang pasti kerana ia datang terus daripada Allah. Dimanakah silap kita
dalam menetapkan prioriti sesuatu perkara dalam kehidupan? Tulisan ini adalah
sebagai peringatan kepada diri saya sendiri dan juga kepada anda yang membaca.
Sama-sama kita perkukuhkan iman dan perbetulkan cara pamikiran kita agar kita
dapat hidup berlandaskan syariat Islam yang sebenar.
A.Khairul
No comments:
Post a Comment