Anda baru sahaja keluar dari
kaunter pembayaran di pasaraya dan kemudian anda didekati oleh ‘salesman’ yang menawarkan tiket gores dan menang. Anda
pun menggores tiket yang diberi dan wow! anda memenangi baucar ringgit
sekian-sekian dan ia boleh digunakan
untuk membeli barang yang ditawarkan. Kemudian untuk menjadikan ia lebih dramatik,
si ‘salesman’ ini pun membuat ‘panggilan’ kepada orang lebih atasan untuk
memaklumkan sudah ada pemenang hadiah utama kononnya untuk membuktikan pada orang atasannya bahawa anda dan dia tidak kenal antara
satu sama lain sebelum itu. Hakikatnya bukan orang atasan yang ingin
diyakinkan, kemungkinan panggilan telefon itu pun hanya lakonan semata-mata.
Mereka ingin meyakinkan anda dengan membuatkan anda merasa “bertuahnya aku hari
ni!!!”
Kemudian ‘salesman’ yang
berkenaan pun membuka catalog barang-barang di hadapan anda dan meminta anda
membuat pilihan barang yang anda berminat untuk membeli. Harga barang-barang
yang ditawarkan kadangkala antara RM500 hingga RM 2000, dan kebiasaannya barang-barang yang ditawarkan
tidak ada di situ. Beserta dengan ‘baucar’ yang anda baru menangi anda perlu meletakkan duit muka terlebih dahulu
dan si ‘salesman’ akan memberitahu bahawa dalam masa seminggu penghantaran akan
dibuat atau orangnya akan datang ke rumah anda untuk membuat pemasangan. Setelah
anda membuat pembayaran duit muka sebanyak 50% daripada harga barang yang
dibeli anda pun pulang ke rumah dengan hati yang gembira kerana dapat
membeli-belah bersama keluarga di tambah lagi dengan memenangi ‘baucar’ secara
percuma. Mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila selepas tempoh yang dijanjikan, tiada khabar berita yang diterima
daripada si ‘salesman’ dan apabila pergi kembali ke pasaraya itu booth yang
dicari sudah tiada lagi.
Yang membuatkan saya rasa ingin
marah adalah, pertama sebab dia memperdayakan (baca menipu) orang dan mengaut
keuntungan daripada sikap naïf masyarakat, kedua yang betul-betul buat saya
rasa meluat dan menyampah adalah apabila bangsa Melayu sendiri yang melakukan
penipuan tersebut ke atas orang Melayu. Tidak
boleh ke jika sekiranya kita mengamalkan budaya mencari rezeki tanpa melakukan
penindasan? Adakah kita bangga dengan kekayaan yang di kita dapat atas penipuan
yang dilakukan? Semoga mereka yang terlibat dengan penipuan sebegini insaf
atas perbuatan mereka dan lebih memikirkan tentang kesejahteraan bersama.
Janganlah fikir diri sendiri sahaja yang mahu senang sedangkan orang lain
menderita.
Jika anda berdepan dengan ‘scam’
seperti ini, jangan terus ‘terkam’ mereka. Ada beberapa cara kita boleh
menikmati penipuan mereka ni *gelak nakal*. Anda layankan sahaja mereka, tanyakan
kepada mereka banyak soalan seperti anda betul-betul berminat, biarkan mereka
penat bercakap dan apabila mereka sedang bersemangat memberi penjelasan, anda
pekakkan telinga, pandang muka mereka, senyum dan perhatikan lubang hidung
mereka, bulu hidung yang terkeluar, tahi lalat yang bergerak-gerak apabila
mereka bercakap. Setelah puas menikmati kesemua itu, anda boleh pergi dengan selamba atau akhiri dengan "berapa ramai orang dah jadi mangsa awak hari ni?". Bak kata pakcik saya, kita memang susah nak halang pencuri dan
penipu ni, tapi jangan bagi mereka mencuri dan menipu senang-senang.
A.Khairul
No comments:
Post a Comment