Tuesday, December 24, 2013

2013: Peristiwa dan Pengajaran

Sudah lama rasanya penulis tidak menulis tentang keadaan semasa, menyepikan diri dan berada di dalam zon selesa sendiri itu lebih baik sekali sekala. Kita sudah pun hampir sampai ke penghujung tahun 2013. Jika dilihat kembali kepada rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini, tidak salah jika penulis katakan tahun 2013 adalah tahun yang banyak memberi pengajaran dan peringatan buat kita, rakyat Malaysia khususnya.

Untuk negara Tanah Tumpahnya Darahku ini, pada awal tahun negara masih lagi dengan krisis pengganas di Lahad Datu Sabah, namun itu tidak menghalang kempen pilihan raya umum ke 13 yang mana kemuncaknya menyaksikan parti komponen Barisan Nasional memperoleh mandat untuk menerajui negara bagi tempoh satu penggal lagi. Seperti mana musim-musim pilihan raya yang lepas, PRU13 tidak lari daripada pelbagai bentuk "drama" pra dan pasca PRU. Dalam usaha SPR menambah baik proses pilihan raya di Malaysia, masih terdapat kekurangan dan penulis percaya ia boleh terus diperbaiki pada masa akan datang.

Dalam tahun ini juga kita dapat menyaksikan banyak kes jenayah homicide menggunakan senjata api yang melibatkan beberapa orang awam dan individu berprofil tinggi yang telah dilaporkan di dalam akhbar dan berita. Jika dahulu kes jenayah yang dilaporkan banyak berlaku pada waktu malam di kawasan kurang orang awam, tetapi trend terkini menunjukkan kes jenayah di negara banyak berlaku di tempat terbuka dan sesetengahnya pada waktu siang. Keganasan anggota 'geng' dan gejala mafia ini adalah tidak dapat dinafikan sangat membimbangkan rakyat dan juga pelancong dari luar secara tidak langsung.

Pada penghujung bulan Ogos, seluruh negara dikejutkan dengan insiden ngeri yang melibatkan sebuah bas ekspress yang terjunam ke dalam gaung ketika dalam perjalanan ke Genting Highland. Seramai 37 mangsa terbunuh dalam kemalangan tersebut yang telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang turut bersimpati terhadap ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas. Kemudian pada bulan November baru-baru ini, berita telah melaporkan beberapa negeri di pantai timur dan selatan tanah air yang dilanda banjir teruk setelah hujan turun tanpa henti selama beberapa hari. Anggaran kos kerugian akibat banjir ini dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit dan kesemua mangsa yang terkesan daripada bencana alam sememangnya memerlukan apa sahaja bentuk pertolongan bagi meneruskan kehidupuan seperti sedia kala. Bantulah mereka dengan apa yang kita mampu.

Dan sebagai penutup tahun 2013 kita telah sedia maklum tentang kenaikkan pelbagai harga barang antaranya minyak petrol, gula, harga rumah, cukai pintu, tambang LRT dan diikuti kemudian dengan pengumuman tentang kenaikkan tariff elektrik, tol dan pelaksanaan GST oleh pihak kerajaan. Walaupun pihak kerajaan cuba memberi penjelasan rasional tentang kenaikkan harga barangan, tetapi hal ini telah diburukkan dengan beberapa komen daripada menteri yang pada hemat penulis tidak langsung melambangkan taraf pemikiran seorang menteri yang sepatutnya berasa prihatin dengan nasib rakyat. 

Secara keseluruhannya setiap peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun ini mungkin ada hikmahnya. Mungkin ia merupakan satu 'wake up call' untuk kita rakyat Malaysia yang selama ini terlena dibuai dengan kata-kata dan idea yang membuatkan kita berasa terlampau selesa dengan apa yang kita ada. Ya kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang sedia ada, tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu berada di takuk lama dan tidak bergerak kehadapan. Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha menjadi lebih baik, lebih hebat, lebih bagus dan cemerlang pada tahun hadapan. Semoga Allah memberkati kita semua.

A.Khairul


No comments: