Sudah lama rasanya penulis tidak menulis tentang keadaan semasa,
menyepikan diri dan berada di dalam zon selesa sendiri itu lebih baik sekali
sekala. Kita sudah pun hampir sampai ke penghujung tahun 2013. Jika dilihat
kembali kepada rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini, tidak salah
jika penulis katakan tahun 2013 adalah tahun yang banyak memberi pengajaran dan
peringatan buat kita, rakyat Malaysia khususnya.
Untuk negara Tanah Tumpahnya Darahku ini, pada awal tahun negara
masih lagi dengan krisis pengganas di Lahad Datu Sabah, namun itu
tidak menghalang kempen pilihan raya umum ke 13 yang mana kemuncaknya
menyaksikan parti komponen Barisan Nasional memperoleh mandat untuk
menerajui negara bagi tempoh satu penggal lagi. Seperti mana musim-musim
pilihan raya yang lepas, PRU13 tidak lari daripada pelbagai bentuk
"drama" pra dan pasca PRU. Dalam usaha SPR menambah baik proses
pilihan raya di Malaysia, masih terdapat kekurangan dan penulis percaya ia
boleh terus diperbaiki pada masa akan datang.
Dalam tahun ini juga kita dapat menyaksikan banyak kes
jenayah homicide menggunakan senjata api yang melibatkan beberapa orang
awam dan individu berprofil tinggi yang telah dilaporkan di dalam akhbar dan
berita. Jika dahulu kes jenayah yang dilaporkan banyak berlaku pada waktu malam
di kawasan kurang orang awam, tetapi trend terkini menunjukkan kes jenayah di
negara banyak berlaku di tempat terbuka dan sesetengahnya pada waktu
siang. Keganasan anggota 'geng' dan gejala mafia ini adalah tidak dapat
dinafikan sangat membimbangkan rakyat dan juga pelancong dari luar
secara tidak langsung.
Pada penghujung bulan Ogos, seluruh negara dikejutkan dengan
insiden ngeri yang melibatkan sebuah bas ekspress yang terjunam ke
dalam gaung ketika dalam perjalanan ke Genting Highland. Seramai 37 mangsa
terbunuh dalam kemalangan tersebut yang telah mendapat perhatian seluruh rakyat
Malaysia yang turut bersimpati terhadap ahli keluarga mangsa yang terlibat
dalam nahas. Kemudian pada bulan November baru-baru ini, berita telah melaporkan
beberapa negeri di pantai timur dan selatan tanah air yang dilanda
banjir teruk setelah hujan turun tanpa henti selama beberapa hari.
Anggaran kos kerugian akibat banjir ini dianggarkan bernilai puluhan juta
ringgit dan kesemua mangsa yang terkesan daripada bencana alam sememangnya
memerlukan apa sahaja bentuk pertolongan bagi meneruskan kehidupuan seperti
sedia kala. Bantulah mereka dengan apa yang kita mampu.
Dan sebagai penutup tahun 2013 kita telah sedia maklum
tentang kenaikkan pelbagai harga barang antaranya minyak
petrol, gula, harga rumah, cukai pintu, tambang LRT dan diikuti kemudian dengan
pengumuman tentang kenaikkan tariff elektrik, tol dan pelaksanaan GST oleh
pihak kerajaan. Walaupun pihak kerajaan cuba memberi penjelasan rasional tentang
kenaikkan harga barangan, tetapi hal ini telah diburukkan dengan beberapa komen
daripada menteri yang pada hemat penulis tidak langsung melambangkan
taraf pemikiran seorang menteri yang sepatutnya berasa prihatin dengan nasib
rakyat.
Secara keseluruhannya setiap peristiwa yang berlaku di sepanjang
tahun ini mungkin ada hikmahnya. Mungkin ia merupakan satu 'wake up call' untuk
kita rakyat Malaysia yang selama ini terlena dibuai dengan kata-kata dan idea
yang membuatkan kita berasa terlampau selesa dengan apa yang kita ada. Ya
kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang sedia ada, tetapi itu tidak
bermakna kita hanya perlu berada di takuk lama dan tidak bergerak kehadapan. Seperti
mana tahun-tahun sebelumnya, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha menjadi
lebih baik, lebih hebat, lebih bagus dan cemerlang pada tahun hadapan. Semoga
Allah memberkati kita semua.
A.Khairul