Wednesday, October 26, 2011

Peranan Ilmuan Islam dalam Pembangunan Negara

Terpanggil untuk menulis tentang isu semasa setelah sekian lama menjadi pendengar dan pemerhati yang setia. Pada 8 Oktober 2011 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Razak telah membentangkan Bajet 2012 yang telah menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Penulis tidak berhajat untuk memberi apa-apa pandangan tentang pembentangan tersebut kerana sedar akan diri ini yang bukan ahlinya. Tetapi apa yang membuatkan penulis berasa senang adalah apabila, pada keesokkan harinya beberapa ilmuan Islam dalam Negara telah mengeluarkan satu senarai respons kepada bajet pembentangan yang dibuat. Respons yang dibuat oleh mereka adalah secara telus mengikut pengetahuan dan kepakaran mereka, dan tidak bersifat menyebelahi mana-mana parti politik. Alhamdulillah itulah yang sebaik-baiknya.

Hal ini kerana, sebelum ini pernah timbul isu ulama’ UMNO dan ulama’ PAS. Masing-masing saling bertelagah, dan sebagai seorang pemerhati yang belum mencapai umur untuk mengundi pada masa itu, penulis berasa sangat jelik. Timbul persoalan, tak bolehkah depa semua ni duduk semeja bincang molek-molek? Secara peribadi penulis merasakan peranan alim ulama’ di dalam sesebuah parti politik adalah untuk memastikan perancangan yang dibuat di dalam parti politik tersebut berlandaskan syariat agama dan bukan hanya sekadar memenuhi tujuan politik dunia semata-mata. Dalam erti kata lain, mengurangkan sikit ‘kehangatan’ yang wujud dalam politik. Kalau mereka sendiri pun sudah menjadi batu api, maka akan timbul lah serangan secara peribadi kepada wakil rakyat yang lain. Tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang, jika ada kekurangan dalam perancangan parti, ahlinya lah yang perlu menegur terlebih dahulu. Kebenaran tetap adalah kebenaran. Tidak ada gunanya menegangkan benang yang basah. Jangan kerana ingin mengejar kuasa di dunia, kita menggadaikan maruah agama. Berdoalah kita kepada tuhan agar kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang dinyatakan Allah di dalam surah Al-Baqarah (2:16)

mereka itulah yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Maka perdagangan mereka itu tidak beruntung dan mereka tidak mendapat petunjuk”

Kalau nak diikutkan IQ penulis yang tak seberapa ini, kadang-kala tertanya-tanya juga. Kenapa UMNO dan PAS dari dulu sampai sekarang tak boleh nak bersatu. Ahli-ahlinya secara majority terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam. Sepanjang 54 tahun lebih negara mencapai kemerdekaan takkan tidak ada satu pun titik persamaan yang wujud antara UMNO dan PAS? Adakah ideology politik lebih utama daripada perpaduan ummah? Dalam konsep berdakwah pun kita dianjurkan untuk mencari titik persamaan terlebih dahulu, kerana daripada situ kesefahaman dapat diwujudkan. Generasi penulis pula sejak dari bangku sekolah lagi telah dididik bahawa agama itu lebih utama daripada bangsa, sebab agama tidak kenal warna kulit. Jangan salah faham, penulis tetap menghormati kawan-kawan penulis yang berlainan bangsa dan agama. Sayang pada agama tidak bererti kita boleh berbuat sesuka hati kepada mereka yang tidak seagama dengan kita. Ambillah teladan daripada Kisah Nabi Muhammad dan wanita Yahudi tua.

Tujuan penulis tiada lain sekadar ingin menyuarakan pandangan dan pemikiran penulis yang naïf ini, seperti dalam lirik lagu Ramli Sarip aku menulis bukan kerna nama.Mohon maaf jika ada sebarang kekurangan. Segala puji bagi Allah, tuhan empunya alam.

Khairul

No comments: