Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Pada miggu lepas saya terdengar
topik perbincangan ini di radio Zayyan. Ia bermula daripada perkongsian seorang
hamba Allah ini di media sosial tentang ibu bapanya yang mampu untuk menunaikan
haji secara pakej yang menelan belanja sehingga RM 120K tetapi tidak mahu
membantu menanggung kos pengajiannya di universiti. Saya sempat juga mendengar
beberapa respon daripada pemanggil Zayyan dan ada juga komen dan pandangan yang
sempat dikongsikan oleh Fynn Jamal.
Secara peribadi saya tiada
pengalaman seperti itu, tetapi saya ada beberapa kenalan dan percaya ramai di
luar sana mengalami pengalaman yang sama. Perkongsian hamba Allah di media
sosial itu mungkin atas dasar beliau melihat ibu bapanya sebagai mampu untuk
membantunya dalam menanggung kos pengajian tetapi mereka tidak berbuat demikian
sehingga menyebabkan beliau terpaksa membuat pinjaman atau tidak dapat
menyambung pengajian.
Pemahaman kita selama ini, ibu
bapa perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak dari segi pakaian, makan, tempat
tinggal, pendidikan sehingga mereka boleh berdikari atau bekerja sendiri. Saya
lebih cenderung kepada apa yang ditekankan dalam Islam iaitu, tangan yang
memberi lebih baik daripada yang menerima. Pada pendapat saya tiada siapa
berada di pihak yang salah sama ada ibu bapa atau hamba Allah tersebut. Satu
benda yang kita perlu jelas adalah perkara yang paling bernilai disisi ALLAH
S.W.T adalah ketakwaan. Sebagai contoh, seorang anak itu ingin meminjam
daripada ibu bapanya wang untuk menyambung pengajian, atas dasar ehsan dan
takwa Si Ayah memberi tanpa pinjaman kepada anaknya, maka Si Ayah sudah mendapat
pahala sunat bersedekah.
Perbetulkan saya jika ada yang
saya terlepas pandang, tetapi islam tidak mengajar kita meminta-minta harta
daripada sesama makhluk.
“ Dan bahawa tidak ada (balasan) bagi seorang manusia
kecuali apa yang dia usahakan” - Surah Al-Najm 53:29-
Mintalah daripada ALLAH yang Maha
Kaya, Maha Mendengar, Maha Pemurah, dan Maha Penyayang. Tujuan Islam
menyarankan kita jangan meminta-minta tanpa berusaha adalah untuk mendidik jiwa
setiap Muslim itu untuk rajin bekerja dan mengharap pergantungan daripada Allah
semata-mata. Dalam hal ini ibu bapa tidak salah kerana duit yang mereka ada itu
adalah atas hasil usaha mereka sendiri yang disimpan untuk hari tua mereka,
tetapi saya tertarik dengan satu komen daripada Fynn Jamal “anak-anak
yang berkira membesar dalam rumah tangga yang berkira”.
Dalam pada masa yang sama, Islam menyarankan kita
perbanyakkan bersedekah, dan sesungguhnya sedekah kepada ahli keluarga itu
lebih utama.
“(Ingatlah) pada hari ketika emas
dan perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan
dahi, perut, dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, “inilah
harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat
daripada) apa yang kamu simpan itu”
- Surah Al-Taubah 9:35-
Peringatan ini untuk diri saya sendiri dan juga
rakan-rakan pembaca. Percayalah kita semua akan dipersoalkan dengan segala
harta yang kita ada di dunia ini. Jika kita berkemampuan menabunglah untuk
anak-anak bermula daripada mereka kecil lagi, janganlah menabung untuk hari tua
kita samata-mata. Bayangkan wajah anak-anak kita waktu mereka baru nak
memulakan kehidupan 10-20 tahun akan datang, dan kita cakap pada mereka “anak-anak
ini duit yang abah dah simpankan untuk kamu semua, gunakanlah untuk memulakan
hidup kamu. Ini sedekah jariah abah untuk kamu semua”. Sudah pasti mereka
akan terharu dan berasa sangat bersyukur, malah kita secara tidak langsung
menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk anak-anak kita contohi.
No comments:
Post a Comment