LELAH. Itulah ungkapan yang boleh saya gambarkan dan luahkan melihat kepada keadaan yang melanda negara “Tanah Tumpahnya Darah Ku” ini. Pada awal kita sama-sama berjuang membendung penularan wabak COVID-19, video tentang negara kita tular di laman YouTube. Saya percaya setiap rakayat Malaysia pasti berasa sangat bangga dan terharu pada ketika itu. Kita setanding malah lebih baik daripada kebanyakan negara maju pada peringkat awal wabak ini melanda negara kita.
Namun bak kata pepatah, disangka panas
hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. KITA ALPA, KITA TAMAK, KITA
LUPA DIRI. Selepas 4 bulan berjuang dan pada ketika rakyat baru boleh bernafas,
kita laksanakan PRU SABAH. Maka berduyun-duyunlah jentera pilihan raya daripada
setiap parti politik turun padang ditambah dengan penduduk Sabah yang pulang
untuk mengundi. Natijahnya, kini kita kembali kepada keadaan awal malah lebih
teruk lagi.
Jika peringkat awal PKP dilaksanakan, orang
awam masih lagi boleh mematuhi arahan kerana terdapat bantuan moratorium, simpanan
kecemasan atau harta yang boleh digadaikan, namun setelah PKP 2.0 dan 3.0 bagaimana
dengan daya tahan hidup rakyat? Tiada lagi moratorium, tiada lagi barang untuk
digadai tetapi masih memerlukan perbelanjaan untuk keperluan harian
Dari pandangan orang awam pada ketika ini, pada
saya mereka sudah tidak endah dengan statistik COVID dan sebagainya daripada
KKM, MKN atau mana-mana Menteri. Kerana apa? Kerana pegawai dan kakitangan
kerajaan gaji mereka masih berjalan sepanjang tempoh COVID ini, namun tidak
bagi kakitangan swasta dan yang bekerja sendiri. Ada diantara mereka yang terpaksa diberhentikan kerja dan hilang mata
pencarian, hal ini menjadikan mereka lebih terdesak
Dari pandangan anggota kesihatan dan
pemerintah, mereka bimbang dengan kadar penyebaran wabak ini dan dalam pada
masa yang sama keberlangsungan sektor ekonomi. Apa yang paling dikhuatari oleh
pihak kesihatan adalah jika bilangan kes terus meningkat dan kapasiti kita
sudah berada di tahap ‘nazak”, tidak mustahil kita akan jadi seperti negara India
di mana petugas kesihatan mereka tidak dapat menampung kesemua pesakit COVID
yang datang ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan.
Pada ketika ini kita perlu kembali kepada matlamat
asal kita, ELAKKAN PENULARAN WABAK. Ahli politik tanpa mengira pembangkang dan
pemerintah perlu duduk berbincang secara fizikal atau maya untuk mencari solusi
terbaik untuk rakyat dan negara. Jika perlu lockdown menyeluruh seperti
PKP 1.0, pastikan ia dibuat dengan terperinci dengan mengambil kira keperluan
hidup rakyat. Orang awam juga perlu mengawal emosi dan rasa amarah mereka demi kemaslahatan
masyarakat dan keluarga mereka sendiri.
Jangan kita ambil mudah jangkitan COVID -19 ini
hanya kerana kita sudah ‘lali’ dengan laporan statistic harian daripada DG KKM.
Jika ada peluang berjumpa dengan pesakit COVID yang pernah dimasukkan ke ICU,
tanyakanlah kepada mereka betapa ngeri dan takutnya disaat untuk menarik nafas yang
mudah pun terasa sukar. Hendak bercakap pun susah. Berapa kerap kita mengatakan
rasa syukur kepada Allah atas nikmat udara untuk bernafas sepanjang kita hidup,
Allahuakhabar. Kami petugas kesihatan yang merawat pesakit covid sendiri berasa
sedih dan pilu melihat keadaan pesakit yang semakin merosot dari hari ke hari. Jadi
sekali lagi saya pesan, janganlah ambil mudah hanya kerana
Bukan ahli keluarga kita yang
bertarung di wad-wad COVID.
Bukan ahli keluarga kita yang
terlantar memenuhi katil-katil ICU COVID.
Bukan ahli keluarga kita yang meninggal
dunia kerana COVID.
Semoga Allah berikan petunjuk dan ilham kepada
kita dalam mengharungi dugaan daripada wabak COVID-19 ini.
Dr A.KHAIRUL