Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, LagI Maha Mengasihani
Sebagai seorang pengamal perubatan moden, saya percaya dan
yakin ramai doktor-doktor di luar sana dan di Malaysia secara khususnya pernah
berdepan dengan bermacam-macam ragam pesakit. Ada pesakit dan ahli keluarga
yang sangat terbuka dan sedia menerima rawatan yang ditawarkan, dan ada pula yang
sangat skeptikal dengan perubatan moden lantas keluar kenyataan seperti,
1- “Kalau saya ambil ubat atau
buat pembedahan ini, CONFIRM boleh baik ke?”
2- “Doktor pun tak boleh beri jaminan 100% boleh sembuh, takpelah saya tak nak operation, saya nak berubat luar”
Sebagai seorang doktor yang beragama Islam, sangat
menyedihkan apabila mendengar kata-kata seperti itu datang daripada orang Islam
sendiri. Apabila mendapat persoalan seperti itu daripada pesakit tidak kira bangsa
dan agama, secara umumnya kami para doktor akan menerangkan kepada pesakit
potensi untuk sembuh berdasarkan statistik dan pengalaman kami. Sebagai doktor
yang beragama Islam, saya dan rakan-rakan hanya boleh menasihatkan pesakit tentang
rawatan yang kami berikan adalah sebagai satu usaha bagi membantu pesakit untuk
pulih. Yang menyembuhkan setiap penyakit itu hanyalah Allah. Selain
daripada itu, motivasi diri pesakit juga memainkan peranan dalam proses rawatan
tidak kira sama ada melalui pengambilan ubat, fisioterapi atau pun pembedahan.
Jadi jika terdapat pesakit yang mengatakan “Doktor bukan
tuhan!!!” betul, kami bukan Tuhan yang boleh memberi jaminan 100% penyakit yang
dialami boleh sembuh, tetapi Islam mengajar untuk setiap apa yang kita inginkan
perlu ada USAHA, DOA, DAN TAWAKAL. Dan saya yakin, tidak ada doktor yang
waras mahu pesakitnya bertambah sakit, dan rawatan yang kami tawarkan tidak
lain dan tidak bukan adalah sebagai salah satu usaha kami untuk membantu. Sungguhpun
dengan teknologi perubatan moden, doktor berpengalaman yang merawat, dan motivasi
pesakit yang sangat tinggi, kami tetap tidak dapat memberi jaminan 100%
penyakit itu akan sembuh, kerana sekali lagi saya ingin ingatkan Allah adalah
sebaik-baik penyembuh.
“Kalau macam tu doktor, tak
payahlah ambil ubat atau buat operation. Saya berubat luar dan berdoa sahajalah.”
Secara peribadi, saya berpegang kepada firman Allah,
“Maka bertanyalah
kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui”
-Surah An-Nahl
ayat 43-
“Usaha” yang pesakit
pilih untuk rawatan adalah hak pesakit itu sendiri, kami sebagai pengamal
perubatan moden akan memberikan pilihan rawatan mengikut kesesuaian beserta
dengan pro and cons bagi setiap rawatan yang ada. Hal ini kerana ada
sesetengah pesakit, lebih cenderung kepada perubatan tradisional, seperti ayurvedic,
bomoh tulang dan sebagainya. Hujah yang diberikan pesakit-pesakit, “ini pun
kira usaha jugalah doktor. Doktor mungkin pakar perubatan moden, tapi depa ni “pakar”
perubatan tradisional.”
Beza perubatan moden dan tradisional, perubatan moden adalah
berdasarkan bukti dan kajian saintifik selama bertahun-tahun dengan berjuta-juta
kes yang dirawat. Manakala bagi sesetengah perubatan tradisional, sesetengah daripadanya adalah tidak bertauliah dan tiada bukti dan kajian saintifik yang kukuh serta hanya
berdasarkan testimoni dan hebahan mulut semata-mata. Jadi terpulang kepada
empunya badan dan keluarga untuk memilih rawatan yang mana. Adakah anda
ingin meletakkan risiko kesihatan dan nyawa pada rawatan perubatan moden yang melalui pelbagai proses saintifik, atau anda lebih yakin pada
rawatan tradisonal berdasarkan cakap-cakap orang dan kepercayaan semata-mata? Sekali
lagi pilihan di tangan setiap pesakit dan ahli keluarga, kerana kami para
doktor juga adalah manusia biasa yang hanya menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah,
kami bukan Tuhan.
Dr A.Khairul