Wira:
Wira tidak banyak berkata sepanjang
perjalanan pulang pada malam itu. Hanya
muzik yang dimainkan di radio yang memecah kesunyian mereka di dalam kereta.
Adi memandang Wira yang sedang memandu. Dia tahu sahabat baiknya itu masih
dalam keadaan marah walaupun dia tidak menunjukkan kemarahannya. 20 tahun
bersahabat dengan Wira, Adi cukup masak dengan perangai Wira. Wira bukanlah
seorang yang akan menzahirkan kemarahannya dengan mudah. Wira sendiri sedar
akan sikap panas baran yang ada padanya, dan dia sendiri akui bahawa dia perlu
mengawal sikap panas barannya itu.
Ya, Wira sudah banyak berubah jika
dibandingkan dengan waktu dulu. Pada awal perkenalan mereka, Adi pernah
menyaksikan Wira melepaskan kemarahan dengan agresif sehingga dia pernah menghempaskan
kerusi ke lantai sehingga pecah. Pada
ketika itu, Adi sendiri berasa takut untuk berkenal rapat dengan Wira, tetapi
lama-kelamaan dia dapat melihat perubahan pada sikap Wira. Wira pernah
meluahkan kebimbangan tentang sikap dirinya yang panas baran ketika mereka
masih di bangku sekolah menengah. Wira sangat bimbang jika orang lain akan
menjauhkan diri darinya atau jika sekiranya dia akan membuatkan orang di
sekelilingnya berasa tidak selesa. Nasihat Adi pada ketika itu,
sedikit-sebanyak telah membantu Wira,
“Kalau kau nak
ubah panas baran kau tu, aku cadangkan kau cubalah baca buku pasal akhlak
peribadi Rasulullah, sebab Nabi Muhammad kan semulia-mulia insan.”