Thursday, February 27, 2014

Sikap: Menganggap Agama Sebagai Trend

Beberapa kali penulis cuba untuk menulis tentang isu ini, tetapi setiap kali itu juga pelbagai dilemma yang datang mengganggu perasaan dan membuatkan penulis terpaksa membatalkan hasrat tersebut. Walaubagaimana pun untuk kali ini, penulis cuba untuk mecari kekuatan diri dan berharap agar penulisan ini dapat memberi peringatan dan pengajaran kepada diri penulis dan anda yang membaca. Perkara yang ingin diperkatakan mungkin agak sensetif bagi sesetengah individu, tetapi niat penulis adalah untuk kita sama-sama muhasabah diri.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini adalah tentang sikap kebanyakan daripada kita yang pada amatan penulis menganggap agama itu sebagai satu trend tidak kira sama ada dalam keadaan sedar atau pun tidak. Apa yang penulis maksudkan adalah, sikap sebahagian daripada kita yang hanya menggunakan agama untuk menonjolkan diri dan bukannya untuk menunjukkan keindahan Islam itu sendiri.

Contoh yang penulis boleh berikan adalah sikap kita selepas menghadiri majlis ilmu. Alhamdulillah sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat semakin banyak program-program dan majlis-majlis ilmu yang dianjurkan dan masyarakat secara umum turut memberi sambutan yang cukup positif. Tetapi haruslah diingatkan bahawa kita perlu tanamkan niat di dalam jiwa, bahawa kita menghadiri kelas pengajian ilmu Al-Quran atau Hadith atau kitab agama itu adalah kerana ingin menimba ilmu supaya diri ini boleh menjadi mukmin yang lebih baik. Bukan jumlah majlis ilmu yang telah kita hadiri yang menjadi ukuran peribadi kita, tetapi perubahan positif yang kita prakitikan daripada majlis ilmu itu yang lebih utama dan penting pada hemat penulis.

Ingin penulis tegaskan di sini, perbincangan ini bukan mempersoalkan kehadiran individu ke majlis-majlis ilmu, tetapi permasalahannya adalah pada sikap sebahagian daripada kita yang menjadikan agama itu seperti fesyen. Sangat menyedihkan apabila Agama itu hanya digunakan untuk menarik perhatian masyarakat, untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi dalam perkara lain seperti hak orang lain kita abaikan. Mengutamakan jawatan di masjid sehingga urusan rumah tangga tidak diberi fokus. Menghadiri banyak majlis ilmu, tetapi kebajikan jiran tetangga tidak diambil peduli.

Sikap menganggap agama sebagai trend ini dapat kita kenal pasti dalam diri sekiranya kita lebih banyak berbudi kepada orang lain yang lebih jauh sehingga mengabaikan urusan rumah sendiri, seperti kata pepatah anak kera di hutan di susukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan. Kesimpulan yang ingin penulis sampaikan adalah, hayatilah amalan agama itu sedalam-dalamnya kerana kita percaya dan yakin akan hikmahnya dan bukan hanya sekadar ikut-ikutan semata-mata kerana ramai orang melakukannya. 

A.Khairul

No comments: