Wira:
Jam di dinding menunjukkan waktu
3.03 pagi. Sementara itu keadaan di luar pula, hujan sedang turun dengan sangat
lebat beserta dengan bunyi guruh. Wira masih lagi berbaring di atas katil cuba
untuk melelapkan mata. Dia cuba mengiring ke kanan dan ke kiri, menyelubung
tubuhnya dengan selimut, tetapi masih gagal untuk membawa mindanya ke tahap
alpha. Perasaannya terganggu, Wira
pernah merasai perasaan seperti itu sebelum ini cuma dia tidak tahu perkara apa
yang membuatkan dia berasa sebegitu.
Wira bangkit dari tempat tidurnya
dan menuju ke bilik sebelah. ‘Tempat kerja’ di rumah, itulah yang diberitahu
oleh Wira apabila rakan-rakanya bertanya tentang bilik itu. Bilik yang
sederhana besar ruangnya di mana terdapat rak buku yang dibina sendiri oleh
Wira memenuhi satu bahagian dinding. Wira mempunyai pelbagai genre buku
daripada koleksi komik, majalah-majalah seperti National Geographic,
novel-novel Melayu dan Inggeris sehinggalah kepada pelbagai buku rujukan dalam
bidang sains dan sosial. Di suatu sudut yang lain terdapat sebuah meja yang sering
digunakan oleh Wira untuk membuat kerjanya. Di dalam bilik yang sama juga
terdapat sebuah skrin TV besar yang terpasang di dinding dan digunakan oleh
Wira untuk bermain playstation setelah
penat melakukan kerja. Terdapat juga beberapa buah almari kaca di mana Wira
meletakkan kesemua action figure yang
dibelinya, kanak-kanak sangat suka melihat koleksi action figurenya.