Monday, November 1, 2010

Penggunaan Komputer Riba di SBP: Perbincangan

Terpanggil untuk menulis tentang kebenaran penggunaan laptop di sekolah bagi pelajar yang menetap di asrama penuh. Post ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja berdasarkan daripada pengalaman yang tidak seberapa. Secara jujurnya saya tidak melihat banyak manfaat yang pelajar-pelajar akan peroleh jika sekiranya kebenaran diberikan kepada para pelajar untuk membawa laptop mereka sendiri. Alasan saya adalah berdasarkan pada aspek penggunaan, sikap dan aspek sosial yang akan timbul nanti.

Daripada sudut penggunaan, saya merasakan pada peringkat sekolah menengah penggunaan laptop tidak begitu ketara kerana kebanyakkan nota boleh disalin di dalam kelas. Tambahan pula, syllabus pembelajaran semuanya sudah terdapat di dalam buku teks yang telah disarankan dan itu sudah memadai. Jika ada kerja kursus yang perlu disiapkan pun salah satu daripada syaratnya adalah dengan tulisan tangan. Jadi di sini saya tidak nampak keperluan laptop kepada pelajar SBP.

Daripada aspek sikap pula, penggunaan laptop untuk memudahkan pelajar mengambil nota daripada blog guru dengan mengcopy-paste hanya akan menjadikan mereka bertambah malas. Kita sedia maklum bahawa proses pembelajaran dan hafalan memerlukan pelajar untuk melihat, mendengar dan menulis/membaca. Saya sangat percaya dan yakin dengan teknik pembelajaran SALIN DAN BACA kerana ia sangat membantu pemahaman seorang pelajar disamping dapat memastikan pelajar member tumpuan kepada setiap butir perkara yang diajarkan didalam kelas. Jika nota boleh didapati daripada blog guru, apa gunanya mereka fokus didalam kelas. Pada peringkat univeriti kami mempunyai Problem Based Learning (PBL), Self Directed Learning (SDL) dan beberapa kajian yang memerlukan penggunaan laptop dan internet, tetapi penggunaannya tidak semaksima yang disangka kerana rujukan akhir tetap daripada buku.

Nota yang mudah diperoleh tidak akan menjamin bahawa pelajar akan membacanya.”

Tidak perlu rasanya saya jelaskan tentang kebarangkalin untuk para pelajar leka dengan permainan video, laman web sosial dan sebagainya.

Dalam aspek sosial, bagi pelajar yang datang dari keluarga berada memang mudah bagi mereka untuk membawa laptop sendiri, tetapi bagi mereka yang latar belakang keluarganya kurang berada tidakkah mereka akan berasa rendah diri dan cemburu. Saya khuatir akan timbul pula masalah laptop hilang dan ini akan menimbulkan perbalahan sesama pelajar.

Jika hal ini mahu dilaksanakan untuk jangka masa panjang, saya merasakan bahawa sudah memadai jika kebenaran hanya diberikan kepada setiap kelas mempunyai sebuah laptop lengkap dengan printer. Ini bermakna hanya pelajar kelas itu sahaja yang boleh mengakses laptop di dalam kelas itu. Cadangan saya supaya setiap pelajar di dalam kelas memberi sumbangan untuk membeli laptop tersebut dengan itu mereka akan lebih menghargai nilai barang itu (seperti sumbangan untuk memasang penghawa dingin di dalam kelas ). Pembelian hendaklah melalui pihak sekolah dengan itu keseragaman akan ada, dan tidak timbul model ini lebih baik daripada model itu. Satu perkara penting, penggunaan desktop sangat tidak digalakkan kerana kebarangkalian untuk pelajar mengupgrade PC untuk game dan sebagainya akan ada. Sebagai bahan bantu mengajar, guru-guru boleh memasukkan nota-nota atau soalan-soalan tambahan di dalam laptop tersebut dimana setiap pelajar boleh mengakses pada bila-bila masa. Jika penggunaan internet dibenarkan, pihak sekolah perlu menghadkan laman web yang boleh dikunjugi oleh para pelajar. Penggunaan laptop di dalam kelas juga perlu fokus kepada pembelajaran dan pengajaran dalam membentuk pelajar menjadi pengguna teknologi yang beretika.

“Secanggih mana pun peralatan yang dihasilkan untuk proses PnP, tetap tidak dapat menandingi keberkesanan mengajar seorang guru

Khairul

No comments: