Friday, April 7, 2023

Kahwin awal atau kumpul aset dahulu?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya percaya persoalan di atas pasti akan timbul untuk mana- mana anak muda yang masih, tengah atau pun baru habis belajar. Secara jujurnya tidak ada jawapan yang betul dan salah. Nak kahwin awal pun tiada masalah nak kahwin lambat pun tiada masalah. Nak bekerja supaya ada rumah dan kereta, tolong mak ayah dulu baru berkahwin pun boleh, nak berkahwin dan bina kekayaan bersama-sama pun boleh. Kerana tidak kira apa keputusan yang kita buat faktor utama kebahagiaan kita adalah diri kita sendiri. 

Sebab apa saya kata diri kita sendiri adalah faktor utama kebahagiaan kita, kerana latar belakang kehidupan kita tidak sama dengan orang lain. Berhenti bandingkan “kebahagiaan” orang lain yang dikongsikan di platform social media dengan diri kita sendiri. Berhenti berasa ketinggalan ataufear of missing out (FOMO)Kita perlu ukur baju di badan sendiriSetiap daripada kita ada matlamat, prinsip dan priority hidup yang berbeza-beza. Malah antara adik-beradik pun mempunyai prinsip hidup yang berbeza oleh itu, rancang kehidupan kita berdasarkan prioriti dan matlamat dalam kehidupan kita. 

Saya mula mendirikan rumah tangga sebaik sahaja tamat program ijazah perubatan pada usia 27 tahun. Pada waktu itu saya masih belum bekerja, belum punya motosikal, kereta atau pun rumah. Duit untuk berkahwin pun saya kumpul daripada kerja2 graphic design dan simpanan yang saya buat sewaktu zaman belajar plus dibantu sedikit oleh kakak. Mesti akan ada yang berkata, kenapa menggatal nak kahwin awal kalau belum mula kerja? Hal ini kerana PRIORITI saya pada waktu itu adalah untuk memulakan keluarga sebelum umur 30 tahun. Dah jodoh ada di depan mata, duit hantaran pun dah mencukupi, jadi apa lagi yang nak ditunggu? Saya tidak risau tentang pendapatan kerana pada waktu itu lepasan perubatan kebiasaannya akan memulakan perkhidmatan selepas 3-4 bulan tamat pengajian di university. Saya bernikah pada penghujung Julai dan mula bekerja pada bulan Ogos tahun yang sama.   

Saya percaya ada individu yang PRINSIPNYA perlu ada rumah dan kenderaan dulu, baru rasa betul-betul stabil dan ready untuk berkeluarga. Tahniah jika ada mampu untuk sediakan semua itu sebelum berkahwin kerana itu akan memudahkan bagi pasangan anda, tetapi bagi saya itu bukan jaminan kebahagiaan. Saya dan isteri, kami sudah pun berbincang tentang hal ini daripada sebelum berkahwin lagi dan kami bersetuju untuk bermula dengan tiada apa-apa. Saya sangat bersyukur kedua-dua belah keluarga menghormati pendirian kami. Kerana apa yang penting pada saya is the journey, susah senang kami akan harungi bersama, itu adalah prinsip rumah tangga kami. 

Kini usia perkahwinan kami hampir 8 tahun, sejujurnya memang langit tidak selalu cerah untuk 5 tahun yang pertama. Kami pernah tersilap perancangan, tersilap pelaburan sehingga perlu bantuan daripada keluarga, tetapi saya tidak pernah menyesal keputusan saya untuk berkahwin awal. Pada saya 5 tahun pertama itu banyak mengajar kami tentang makna perhubungan dan pengurusan keluarga, dan daripada situ kami baiki kekurangan dan cara kami mengurus rumah tangga. Cabaran dan kesulitan dalam alam rumah tangga itu bukanlah bermakna kegagalan, tetapi kegagalan itu berlaku apabila kita lari daripada cabaran dan kesulitan yang timbul. 

Saya percaya kebanyakan yang memilih untuk memiliki asset terlebih dahulu punya alasan mereka yang tersendiri. Mungkin itu yang terbaik untuk mereka supaya mereka lebih stabil dan bijak mengurus kewangan terutama bagi mereka yang duduk di Kawasan bandar. Sekali lagi saya ingatkan rancang kehidupan kita berdasarkan prioriti dan matlamat dalam kehidupan kita. Jika prioriti kita adalah untuk berkhidmat kepada  ibu bapa dahulu, teruskan dan jangan rasa tertekan melihat kawan- kawan yang berkahwin awal kerana PRIORITI anda dan mereka berbeza. Jika kita nekad untuk mengumpul asset sebelum berkahwin bagi menjamin masa depan keluarga dan anak-anak, teruskan kerana itu PRINSIP kehidupan anda. Antara perkara yang mematang dan mendewasakan kita adalah membuat keputusan besar dalam kehidupan, dan menghadapi apa jua dugaan yang datang atas keputusan yang dibuat. Tidak kira apa jua pilihan kita, sentiasa bertawakal kepada Allah kerana dialah sebaik-baik perancang. 

A.Khairul