Dengan Nama Allah
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Untuk coretan kali ini, saya
ingin berkongsi tentang satu hobi yang baru saya ceburi kurang daripada setahun
tetapi telah mendapatkan hasil yang sangat positif dan memuaskan hati. Saya
percaya kebanyakan orang apabila terdengar tentang hobi saltwater aquarium,
perkara pertama yang terlintas difikiran mereka adalah tentang kos. Saya faham,
kerana saya sendiri mempunyai tanggapan sebegitu ketika mula-mula ingin bermula
dengan hobi yang menarik ini.
Daripada pembacaan dan
penyelidikan saya tentang hobi ini, memang kebanyakan video dan forum mencadangkan
orang yang baru ingin berkecimpung didalam hobi ini supaya bermula dengan akuarium
besar. Hal ini kerana parameter air memainkan peranan yang sangat penting
dalam hobi ini. Secara teori, semakin besar saiz akuarium, semakin kecil
perubahan parameter air, maka lebih tinggi kebarangkalian saltwater aquarium
anda untuk berjaya. Namun masalah utama untuk bermula dengan akuarium
bersaiz besar adalah kos yang sangat mahal.
Saya pernah bertanya tentang kit
permulaan untuk saltwater aquarium di kedai berdekatan dan anggaran kos
untuk akuarium bersaiz 2 kaki adalah RM800-900 untuk akuarium sahaja, dan ini tidak
termasuk lampu “high class” yang dianggar RM1500, dosing pump RM1300, protein
skimmer dan lain-lain. Jika mengambil kira kesemua peralatan dan hidupan untuk
akuarium bersaiz 2 kaki, anda memerlukan lebih kurang RM3k- RM5k untuk
memulakan hobi ini!!! (memang kayangan betul ni!!)
Disebabkan memang sudah lama berjanji dengan anak- anak untuk membela Nemo di rumah, saya tekad untuk bermula (baca ber-eksperimentasi) dengan akuarium bersaiz kecil walaupun peratusan kegagalan sangat tinggi untuk orang baru seperti saya. Tidak dinafikan pada 3 bulan pertama saya mengalami banyak kesukaran dan terpaksa bermula semula dari awal lebih dari 3 kali, antaranya disebabkan oleh jangkitan parasite (paling mencabar) dimana semua ikan saya tidak tahan lebih daripada 3 hari. Kedua adalah disebabkan oleh parameter air yang tidak stabil menyebabkan batu karang tidak kembang dan akhirnya mati, dan akhir sekali disebabkan oleh masalah peralatan yang rosak ketika kami sekeluarga pergi bercuti.
Saya hampir putus asa apabila sudah
gagal banyak kali, namun atas sokongan isteri tersayang saya cuba untuk bermula
semula, dan alhamdulillah kini pico saltwater aquarium saya berjaya
bertahan 4 bulan tanpa sebarang kematian ikan mahu pun batu karang. Disini
saya ingin kongsikan tips yang saya gunakan supaya lebih ramai orang boleh
menikmati hobi ini dengan kos yang lebih rendah dan kejayaan yang tinggi.